Carian
Motorola Moto Edge 50 Ultra Dengan Snapdragon 8s Gen 3 dan Tubuh Kayu Dilancarkan
April 17, 2024 Effi Saharudin

Bahan binaan peranti yang sedang hangat sekarang ialah titanium. Beberapa tahun sebelum ini panel kaca, kulit vegan dan seramik juga diperkenalkan bagi memberikan keunikan di pasaran. Semalam Motorola Moto Edge 50 Ultra telah diumumkan dengan panel belakang diperbuat daripada kayu.

Peranti ini dilengkapi skrin 6.7″ P-OLED 2K dengan kadar segar semula 144Hz dan sokongan HDR10+. Ia dijana cip Snapdragon 8s Gen 3, memori sehingga 16GB, storan sehingga 1TB dan bateri 4500 mAh dengan sokongan pengecasan 125W.

Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MO OIS, lensa ultra sudut lebar 50MP dan lesan zum periskop 64MP. Kamera swafoto pula sebesar 50MP. Peranti mempunyai kemampuan kalis air IP68 dan hadir dengan speaker stereo. Pengimbas cap jari disertakan secara terbina di bawah skrin. Sistem operasi yang digunakan pula adalah Android 14.

Penggunaan panel kayu adalah mirip dengan siri Moto Z beberapa tahun lalu dengan panel boleh ditanggalkan dengan aksesori lain seperti kamera, speaker dan modul 5G. Selain panel kayu, Edge 50 Ultra juga ditawarkan dengan pilihan kulit vegan.

Komen