Razer amat terkenal dengan produk mereka yang memfokuskan kepada gaming. Rekaan yang ranggi, prestasi yang tinggi dan lampu RGB yang berwarna-warni. Terbaru, Razer telah melancarkan pad tetikus Razer Firefly V2 Pro yang lengkap dengan 15 sistem lampu berbeza.

Saiz pad tetikus ini adalah 278 mm x 360 mm dengan ketebalan 4.6 mm. Pad ini juga adalah jenis keras yang diperbuat daripada plastik. Kemudian terdapat 15 lampu LED untuk RGB Razer Chroma berada di atas. Dengan permukaan berkabut, setiap 15 lampu tadi boleh menjadikan keseluruhan pad tetikus ini menyala terang dengan 16.8 juta warna berbeza.

Pada permukaan Firefly V2 Pro ini menggunakan kemasan berkabut yang rendah geseran untuk prestasi terbaik. Di bawah turut ada pad anti-gelincir agar ia tidak bergerak sepanjang sesi bermain. Di belakang Firefly V2 Pro turut mempunyai 1x port USB-C dan 1x USB-A untuk disambungkan ke komputer dan menjadi tempat menyambungkan aksesori Razer lain.

Harga jualan di Malaysia adalah RM499 dan Razer menawarkan pilihan warna hitam atau putih. Laman web Razer turut mula menawarkan penghantaran express berharga RM45 yang boleh tiba dalam masa 2 hari berbanding penghantaran biasa sekitar 4 hari.