Carian
AMD
AMD Memperkenalkan Siri CPU Ryzen Pro 8000 Yang Tampil Dengan Kebolehan Pemprosesan AI
April 17, 2024 Nazrin

AMD hari ini telah memperkenalkan dua siri CPU dan APU yang terdiri daripada AMD Ryzen Pro 8040 untuk komputer riba dan APU AMD Ryzen 8000 yang mana kedua-duanya tampil dengan cip kecerdasan buatan terbina.

AMD memperkenalkan enjin XNDA untuk menggerakkan cip AI terbina ini yang boleh dimanfaatkan untuk menggerakkan pelbagai ciri kecerdasan buatan terbina secara terus dari komputer riba tanpa perlu bergantung kepada kuasa pemprosesan mesin pelayan dan juga sambungan internet yang pantas.

Siri APU dan CPU AMD Ryzen Pro 8000 dan Ryzen Pro 8040 akan dimanfaatkan oleh komputer-komputer riba kelas komersil, khususnya untuk syarikat-syarikat yang masih mahu menggunakan teknologi kecerdasan buatan untuk memudahkan tugas-tugas mereka seperti menulis laporan, mencipta slaid dan pelbagai carta, tetapi tidak mahu maklumat tersebut tertiris ke arena web akibat pembelajaran mesin.

AMD juga mengatakan bahawa cip CPU Ryzen Pro 8040 mereka hadir dengan kemampuan pemprosesan NPU 16 TOPS yang lebih tinggi berbanding dengan Intel Meteor Lake dengan 11 TOPS sahaja. Apabila digabungkan dengan kuasa pemprosesan CPU, cip Ryzen Pro tampil dengan kuasa pemprosesan 36 TOPS, manakala penawaran Intel pula mempunyai kuasa pemprosesan 34 TOPS.

Walaupun begitu, kedua-dua cip pemprosesan ini, yang dijangka akan menggerakkan sistem operasi Windows 11 dengan ciri AI Copilot terbina masih lagi tidak mencapai keperluan minima kuasa pemprosesan 45 TOPS untuk menggerakkan Copilot secara tempatan, tetapi ia dijangka bahawa cip pemprosesan akan datang daripada kedua-dua syarikat ini (Strix Point dan Lunar Lake) akan melepasi nilai keperluan tersebut.

Setakat ini, ia telah dilaporkan bahawa Lenovo dan HP akan menjadi diantara dua pembuat komputer riba yang akan menggunakan cip pemprosesan AMD Ryzen Pro 8040 ini, tetapi buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah komputer-komputer riba ini akan dilancarkan.

Komen