Carian
TikTok Akan Menghalang Akaun Yang Kerap Melanggar Terma Daripada Saranan For You
April 18, 2024 Effi Saharudin

Susur masa For You menggunakan algoritma bagi menyarankan kandungan yang dirasakan TikTok serasi dengan citarasa pengguna. Setiap insan mempunyai algoritma sendiri membuatkan kandungan daripada akaun yang tidak diikuti akan disarankan. TikTok hari ini telah mengemaskini garis panduan pengguna dan akan memberikan amaran kepada akaun yang didapati melanggar terma dan syarat laman.

Akaun yang memuat naik kandungan teori konspirasi, seksual, amalan pemakanan tidak sihat dan pelbagai lagi topik yang tidak dibenarkan akan dihalang daripada muncul pada susur masa For You. Dengan ini akaun tidak boleh menyalahgunakan topik yang sedang tular untuk mendapatkan tontonan. Sistem halangan kandungan ini akan berkuat kuasa bermula 17 Mei depan.

Sekiranya akaun anda dihalang, TikTok akan memberikan notifikasi dan anda diberikan peluang untuk melakukan rayuan sekiranya berlaku kesilapan. Turut diperkenalkan ialah ciri ‘Account Check’ yang menunjukkan status 30 video terakhir yang dimuat naik pengguna. Pemilik akaun boleh melihat sama ada mereka ada melakukan pelanggaran terma laman dan sama ada video mereka yang sudah dipadam oleh TikTok.

Komen