Carian
Rekaan Lenovo Yoga Slim 7 14 Dengan Cip Pemprosesan Qualcomm Snapdragon X Elite Tertiris
April 18, 2024 Nazrin

Qualcomm dilihat akan mencabar penawaran-penawaran komputer riba yang dikuasakan oleh syarikat-syarikat seperti AMD, Apple dan juga Intel. Cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X Elite dijangka akan menambahkan lagi penawaran komputer riba ringan, nipis dan berkuasa di pasaran tidak lama lagi.

Terkini, rekaan untuk salah satu komputer riba tersebut, iaitu Lenovo Yoga Slim 7 14 nampaknya telah tertiris ke arena web melalui seorang peniris maklumat teknologi, WalkingCat.

Komputer riba Lenovo Yoga Slim 7 juga bukanlah sebuah komputer riba yang baru, kerana siri komputer riba ini sudahpun tampil dengan model yang dikuasakan oleh cip-cip pemprosesan AMD dan Intel sebelum ini, dengan model Yoga Slim 7 (AMD) dan Yoga Slim 7i (Intel).

Setakat ini ia tidak diketahui lagi apakah nama model komputer riba yang dikuasakan oleh CPU Qualcomm ini, tetapi kami menjangkakan bahawa untuk membezakannya dengan model-model lain, ia akan hadir dengan penjenamaannya tersendiri juga.

Tidak banyak butiran lain yang diketahui mengenai peranti ini, tetapi nampaknya ia akan hadir dengan paparan skrin bersaiz 14 inci dan butang Microsoft Copilot terbina yang kini banyak diperlihatkan pada komputer-komputer riba yang baru dilancarkan pada tahun ini.

Ia juga dijangka bahawa komputer riba ini akan tampil dengan beberapa penawaran cip CPU Qualcomm Snadragon X Elite yang berbeza, tetapi setakat ini penjenamaan CPU itu sendiri juga masih lagi tidak diperlihatkan secara rasmi.

Komen