Kemaskini baharu IQOO menunjukkan terdapatnya produk baharu yang bakal ditawarkan di Malaysia. Melihat imej promosi disertakan ia boleh menjadi pengenalan untuk IQOO Z9 dan IQOO Z9X yang kelak dikategorikan sebagai peranti kelas pertengahan. Cuma sayangnya IQOO masih mengambil pendekatan untuk berahsia mengenai tarikh pelancaran rasmi.

Sungguhpun begitu, hasil semakan kami melalui kedai atas talian rasmi IQOO di Shopee mendapati peranti dijangka tersedia pada 25 April 2024. Selain itu sebahagian perkakasan dalaman juga telah disenaraikan menerusi halaman yang sama. Melaluinya IQOO Z9 akan dilengkapi cip Snapdragon 7 Gen 3, skrin AMOLED 144Hz, storan dalaman 256GB dan bateri 6,000mAh dengan pengecasan pantas 80W.
Sementara itu, peranti IQOO Z9X pula akan menawarkan skrin dengan kadar segar semula 120Hz, cip Snapdragon 6 Gen 1, storan dalaman 256GB dan bateri 6,000mAh dengan pengecasan 44W. Seperti biasa lebih banyak butiran peranti yang pastinya dikongsi IQOO dalam masa terdekat ini.