Carian
Nothing Ear Dan Ear (a) Kini Rasmi Dengan ChatGPT Terbina Pada Harga Bermula RM479
April 18, 2024 Fahim Zahar

Sebentar tadi Nothing telah melancarkan dua TWS baharu iaitu Nothing Ear dan Nothing Ear (a). Satu adalah pengganti Ear (2) dan satu lagi adalah pengganti Ear (stick) yang menggunakan nama baharu. Kedua-dua TWS ini menawarkan audio lebih baik serta ciri AI generatif terbina.

Nothing Ear – RM659

Nothing Ear adalah TWS mercu mereka yang kini menggunakan pemandu audio dengan diafragma seramik bersaiz 11mm. Pergerakan komponen ini adalah 110% lebih baik berbanding Ear (2) untuk bass yang lebih dalam. Nothing turut menjanjikan audio yang 10% lebih jelas kerana rekaan dalaman yang lebih baik.

Ear turut menyokong audio Hi-Res sehingga 1Mbps 24-bit/192KHz dengan LHDC 5.0, Bass Enhanced turut diperkenalkan untuk algoritma bass yang lebih pintar. Penyama profesional dan profil audio peribadi dikekalkan untuk pengalaman audio yang lebih enak. Sokongan pembatalan hingar kini adalah jenis pintar dengan Smart Active Noise Cancellation sehingga 45db dan ANC adaptif turut masih boleh digunakan.

Dengan penggunaan AI generatif semakin popular dan Nothing kerap menambah ciri ChatGPT pada peranti mereka, chatbot OpenAI ini turut diintegrasikan ke dalam Nothing Ear untuk akses pantas dengan arahan suara. Ciri ini terhad kepada pengguna Phone (2) dengan sokongan kepada Phone (2a) dan Phone (1) akan tiba di masa akan datang. Rekaan setakat ini masih lebih kurang sama dengan Nothing Ear generasi lepas.

Nothing Ear (a) – RM479

Untuk Ear (a), ia dikatakan adalah TWS kelas pertengahan. Ia mungkin menggantikan Ear (stick) tetapi kali ini Nothing memilih rekaan fon dalam telinga berbanding jenis separa terbuka. Ia adalah produk serba baharu dengan rekaan baharu. Rekaan pod pengecas Ear (a) dikatakan mengambil inspirasi daripada bekas ubat. Tema rekaan lutsinar turut masih dikekalkan tetapi kini ada pilihan warna kuning seakan Playdate.

Ciri lain seperti LDAC, ANC pintar yang adaptif, audio Hi-Res, dan pemandu audio 11mm dikekalkan seperti Nothing Ear tetapi pemandu audio adalah jenis dinamik dan bukan seramik. Jika Nothing Ear menyokong IP54/IP55, Ear (a) hanya IP54/IPX2, jika Ear ada pengecasan nirwayar Ear (a) tiada dan bateri Ear (a) tahan lebih lama iaitu sehingga 9.5 jam sementara Ear adalah 8.5 jam.

Kedua-dua Nothing Ear masih menggunakan aplikasi Nothing X. Ia sudah boleh dibeli di Malaysia dengan harga RM659 untuk Ear dan RM479 untuk Ear (a). Adakah anda akan membeli Nothing Ear baharu yang harganya lebih mahal berbanding generasi lama?

Komen