Carian
TV Sony Bravia Baharu Dilengkapi Skrin MiniLED, Google TV Dan Bravia Core
April 19, 2024 Fahim Zahar

Banyak pengeluar televisyen menggunakan nama yang aneh dan sukar untuk ingat. Sony menyedari perkara ini dan untuk barisan televisyen pintar baharu, nama lebih mudah digunakan. Bukan itu sahaja, Sony turut mula menawarkan panel MiniLED dan bakal menawarkan perkhidmatan penstriman Bravia Core dengan filem IMAX yang anda boleh beli kredit untuk menebus pelbagai filem.

Bravia 3, Bravia 7, Bravia 8 dan Bravia 9 adalah 3mpat siri televisyen pintar baharu. Bermula dari panel LED, OLED dan terus kepada MiniLED. Terdapat 16 televisyen kesemuanya, tetapi hanya Bravia 7,8,9 dengan cip Sony XR sementara Bravia 3 kekal menggunakan cip X1. Sony menjanjikan yang kualiti skrin dan warna yang akan dinikmati pengguna kelak adalah sama seperti apa yang pihak studio mahukan. Kecerahan skrin turut boleh mencapai sehingga 4000 nits agar pengguna yang meletakkan televisyen di rumah dengan pendedahan cahaya matahari masih dapat menonton dengan baik.

Untuk televisyen yang menggunakan MiniLED dan cip Sony XR, terdapat teknologi di mana pencahayaan dan warna skrin jenis adaptif mengikut kandungan yang dimainkan. Misalnya, jika ada adegan memfokuskan lampu suluh – hanya kawasan nyalaan lampu menjadi lebih terang sementara kawasan lain adalah lebih gelap. Cip baharu ini turut menjanjikan kualiti yang tiada tandingan dengan pesaing, kerana dalam demonstrasi yang Sony Malaysia tunjukkan – televisyen pesaing dengan jumlah LED lebih banyak masih tidak secantik pada televisyen Sony dengan jumlah LED yang sedikit.

Mod studio tadi diberi nama Studio Calibrated dan ia ditujukan kepada aplikasi Prime Video, Netflix dan Bravia Core. Untuk kesemua televisyen Bravia baharu ini, teknologi Pure Stream digunakan untuk pengalaman penstriman yang lebih bagus. Televisyen baharu Sony ini turut didatangkan dengan alat kawalan jauh yang diperbuat daripada plastik yang dikitar semula dan pengguna turut boleh memantau penggunaan tenaga melalui papan pemuka Eco dashboard 2.

Sistem audio dan paparan turut menyokong pelbagai piawaian seperti Dolby Atmos, Acoustic Multi-Audio+, Dolby Vision, HDR10+, IMAX Enhanced dan setiap televisyen ini turut akan menjadi speaker tengah jika dipadankan dengan set teater baharu yang akan dilancarkan di masa akan datang. Buat masa ini model spesifik mana dan apakah harga jualan di Malaysia masih belum ditentukan tetapi Bravia 3, Bravia 7, Bravia 8 dan Bravia 9 pasti akan dijual di Malaysia tidak lama lagi.

Komen