Carian
MSI
Ulasan MSI Prestige 13 AI Evo A1MG – Komputer Ringan, Produktiviti Tiada Tandingan
April 30, 2024 Rihhadatul Aisy

Melihat kepada dunia serba pantas hari ini, ciri mudah alih dengan prestasi mantap adalah kunci kepada sebuah komputer riba yang berguna. Demikian itu, MSI Prestige 13 AI Evo A1MG tampil dengan bentuk tubuh yang nipis dan ringan bersama pemproses Intel Core Ultra yang canggih dengan paparan OLED mengagumkan bagi memenuhi kedua-dua elemen penting berkenaan.

Menerusi artikel ini kami akan bawa anda menyelam ke dalam komputer riba kompak yang diperkasakan AI ini untuk melihat prestasi, ketahanan bateri dan beberapa lagi elemen penting yang perlu ada pada sebuah komputer riba. Persoalannya, adakah MSI Prestige 13 AI Evo A1MG ialah sebuah peranti dengan gabungan kuasa yang sempurna ?.

SPESIFIKASI

Nama ModelMSI Prestige 13 AI Evo A1MG
Saiz Paparan13.3″ FHD+ (1920 x 1200) 16:10,
OLED
PemprosesIntel Core Ultra 5 125H
Cip GrafikIntel Arc Graphics
RAM16 GB LPDDR5-6400
Muatan Dalaman1TB NVMe PCIe Gen4x4 SSD
KameraIR FHD (30fps@1080p) with HDR
Palam I/OUSB-C × 2
USB A 3.2 Gen 1 × 1
Pembaca Kad SD Mikro × 1
HDMI × 1
Bicu audio 3.5mm × 1
Sistem OperasiWindows 11 Home
SekuritiCap jari (Windows Hello)
Pin (Windows Hello)
Pengimbas Wajah (Windows Hello)
Bateri75 Wh Li-ion 4 sel
Pengecas 65W
HargaRM 5,999

REKAAN

Ulasan ini kami mulakan dengan rekaan tubuh komputer riba yang tampak kukuh dan terlihat premium tanpa lekuk aneh. Tubuh berwarna hitam dinamakan sebagai Stelllar Gray dengan reka bentuk petak yang cukup minimalis serta memiliki kemasan kusam bersama binaan panel plastik. Ia turut ditawarkan dengan pilihan satu lagi warna iaitu warna Pure White.

Pada bahagian bucu terasa sedikit tajam tetapi langsung tidak mengganggu sepanjang tempoh penggunaan. Kemudian engsel juga tidak terlalu keras atau terlalu longgar menjadikan ia senang dibuka dan bahagian bawah tidak terangkat walaupun ketika komputer riba ini dibuka dengan hanya sebelah tangan berserta kebolehan membuka sehingga 180 darjah.

Saiz tubuh komputer riba ini kecil dengan saiz skrin 13.3” . Bukan sekadar kecil, tubuhnya juga adalah sangat ringan bahkan lebih ringan daripada sebungkus tepung gandum yang anda beli di kedai runcit. Berat komputer riba ini hanyalah 0.99 kg dimana ia tidak mencecah 1kg sekalipun menjadikannya mudah untuk dibawa kemana-mana dan hampir boleh digunakan di mana-mana sahaja.

Kemudian di bahagian sisi kanan terdapat 1 slot untuk kad SD, USB-A dan USB 3.2 Gen 1. Manakala di bahagian sisi kiri pula menempatkan 2 port USB-C, 1x HDMI dan lubang bicu audio 3.5mm. Kami berikan pujian kepada pemilihan ruangan untuk meletakkan kesemua port USB ini dengan ia memudahkan penggunaan.

Pengimbas cap jari pula terbina bersama dengan butang kuasa. Proses pengimbasan cap jari adalah lancar dan pantas tanpa sebarang isu. Rekabentuk bezel pada skrin pula agak tebal di bahagian atas, tetapi masih boleh diterima baik memandangkan ia menempatkan pelbagai sensor dan bulatan kamera. Kamera web 1080P juga disertakan dengan kualiti gambar dan video yang cukup memuaskan. Pengatup kamera web juga tersedia untuk tujuan privasi yang ingin dipertingkatkan.

Pada bahagian bawah, terdapat barisan lubang pengudaraan, lubang speaker dan juga empat pelapik getah. Pelapik getah yang terbina memberikan geseran sekaligus menjadikan komputer riba ini tidak mudah terjatuh daripada permukaan meja.

SKRIN

Skrin adalah sebesar 13.3” OLED dengan resolusi 2880×1800 piksel yang menjadikan paparan skrin terlihat cukup terang  dengan kualiti gambar yang jelas dan mengagumkan. Hal ini sekaligus menjadikan pengalaman menonton kandungan video dan melakukan kerja-kerja suntingan menjadi lebih baik. Sebagai seorang penyunting video di Amanz, kami secara peribadi lebih sukakan skrin yang menggunakan panel OLED dengan kemasan glossy persis seperti yang tersedia pada komputer riba ini.

Ini kerana paparan skrin jenis ini adalah lebih jelas dan terang serta sesuai untuk melakukan kerja-kerja suntingan video di Premiere Pro mahupun untuk menggunakan perisian Photoshop. Tetapi untuk beberapa situasi misalnya jika berada di kawasan yang terlalu terdedah di bawah matahari maka skrin dengan kemasan matte mungkin dapat memaparkan kandungan dengan lebih baik. Namun, dalam kebanyakan situasi, skrin dengan kemasan glossy adalah lebih berguna.

Tetapi sedikit ralat ialah saiznya yang hanya 13.3” menjadikan kami tidak puas untuk melihat paparan perisian Adobe Premiere Pro ketika kerja-kerja suntingan video dilakukan. Saiz paparan skrin yang agak kecil ini menjadikan paparan perisian tidak dapat dipaparkan dengan lebih menyeluruh dan saiz elemen dalam perisian semuanya kelihatan sangat kecil. Tetapi untuk melakukan kerja-kerja produktiviti yang lain, saiz paparan ini tidak menyebabkan sebarang masalah.

PRESTASI & PENANDA ARAS

Model komputer riba yang kami ulas ini dilengkapi dengan CPU Intel Core Ultra 5 125H, dipadankan dengan memori 16GB LPDDR5 dan storan 1TB NVMe PCIe Gen4x4 SSD.

Sepanjang tempoh penggunaan, kami boleh katakan bahawa ia merupakan sebuah komputer riba yang cukup baik dengan membolehkan kesemua perisian dapat dibuka dan digunakan dengan lancar tanpa masalah. Namun terdapat sedikit isu pemanasan yang dapat dirasai beberapa kali khususnya apabila kami menggunakannya ketika sedang di cas.

Dari segi kemampuan produktiviti biasa kami rasakan langsung tiada masalah tetapi untuk melakukan kerja suntingan di perisian Adobe Premiere Pro, kami sedari masa yang diambil untuk proses ‘export’ adalah sedikit lama. Biasanya, untuk proses render video dengan resolusi 4K menggunakan MacBook Pro M2, masa yang diambil adalah sekitar 20 minit sahaja. Menggunakan projek video yang sama, kami cuba melaksanakan proses rendering di Prestige 13 AI Evo A1MG tetapi masa yang diambil adalah agak lama iaitu sekitar lebih 50 minit.

Berikut adalah beberapa ujian penanda-aras yang digunakan untuk memperlihatkan tahap kemampuan dan prestasi komputer riba ini. Tetapi sepanjang proses suntingan, isu lengah masa yang teruk tidak berlaku dan ia masih mampu menjalankan perisian berkenaan dengan agak lancar.

Jadi kami boleh katakan bahawa komputer riba ini adalah sangat cemerlang sebagai sebuah komputer produktiviti harian namun tidak begitu sesuai untuk seorang penyunting video atau mereka yang gemar memainkan permainan video secara ekstrem.

PAPAN KEKUNCI & PAD SESENTUH

Pada awalnya, kami langsung tidak meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap keselesaan penggunaan papan kekunci peranti ini kerana saiz tubuh dan juga jumlah beratnya yang terlalu ringan. Tetapi sebaik saja menggunakan komputer riba ini untuk menulis artikel, kami sedari pengalaman menaip menggunakan papan kekuncinya adalah amat mengujakan. Bahkan ketika menulis ulasan ini kami juga sedang menggunakannya. Tiada masalah untuk menaip dalam jangka masa yang lama dan kesemua butang papan kekunci berfungsi dengan baik.

Memandangkan komputer riba itu berukuran 13.3″ menjadikan terdapat beberapa butang pada papan kekunci yang dikecilkan. Pad sesentuh yang terbina padanya juga tidak terlalu besar dan tidak pula terlalu kecil yang pada hemat kami, ia merupakan saiz wajar bagi sebuah pad sesentuh yang selesa untuk digunakan.

AUDIO

Mengulas tentang sistem audionya pula, komputer riba ini memiliki pembesar suara yang diletakkan di bahagian bawah yang menjadikan audio yang dimainkan kedengaran sedikit tenggelam. Kami boleh menyenaraikan bahagian sistem audio peranti ini sebagai salah satu daripada kekurangannya. Kejelasan audionya menjadikan pengalaman mendengar muzik dan menonton kandungan video adalah kurang memuaskan.

Namun, bertepatan dengan namanya, komputer riba ini memiliki beberapa ciri AI yang tersedia dan salah satunya ialah fungsi AI Noise Cancellation Pro yang boleh menghilangkan bunyi hingar. Ini merupakan salah satu daripada ciri AI yang terbina padanya serta boleh digunakan untuk pengalaman penggunaan sistem audio yang lebih baik.

KETAHANAN BATERI

Selain nipis dan kompak, komputer riba ini turut memiliki ketahanan bateri yang cukup lama dimana ia hadir dengan kapasiti bateri sebesar 75 Whr. Ia boleh bertahan sehingga 8- 9 jam dalam penggunaan ringan seperti melayari web dan menonton video. Tetapi apabila menggunakan komputer riba ini untuk menyunting video menggunakan perisian Adobe Premiere Pro, bateri komputer akan lebih cepat berkurang. Saiz pengecas yang disediakan pula kecil dan ringan jadi mudah untuk dibawa kemana-mana tanpa sebarang isu.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, menjawab kepada persoalan yang kami nyatakan pada awal ulasan tadi, MSI Prestige 13 Evo A13M tidaklah memiliki gabungan kuasa yang sempurna tetapi ia adalah salah satu komputer riba untuk kegunaan produktiviti yang sangat baik. Bahkan, sekiranya anda sedang mencari sebuah komputer riba yang memiliki bateri yang cukup tahan lama, memiliki prestasi yang berada pada tahap baik dengan harga yang tidak begitu merabakkan poket maka komputer riba MSI Prestige 13 Evo A13M ini adalah salah satu komputer riba 13 inci yang boleh dipertimbangkan. Sebaliknya, bagi mereka yang mahukan sebuah komputer riba berkuasa untuk tujuan menyunting video dengan resolusi tinggi atau untuk memainkan permua secara ekstrem, maka peranti ini dirasakan kurang sesuai khususnya untuk jangka masa yang lama.

PRO

  • Ringan dan kompak
  • Skrin OLED 13.3″ yang terang dan cantik
  • Pilihan dan kedudukan I/O yang berguna dan memudahkan penggunaan

KONTRA

  • Beberapa butang pada papan kekunci terlalu kecil
  • Harga agak mahal
  • Sistem audio kurang memuaskan
Komen