Carian
Tesla Memanggil Semula Semua Cybertruck Sebab Masalah Pada Pedal Pemecut
April 20, 2024 Aman

Tesla kini memanggil semula semua Tesla Cybertruck yang telah dikeluarkan, disebabkan oleh masalah pada pedal pemecut. Mengikut badan penguatkuasa di Amerika Syarikat, ia dikatakan pedal pemecut berkenaan boleh tersangkut – sekaligus membawa kepada risiko para pemandu boleh melanggar atau menghadapi kemalangan.

Sebelum ini sendiri, beberapa pengguna telah melaporkan perkara sama. Malah, ia diperkatakan Tesla telah menghentikan penghantaran kenderaan baharu kepada pelanggan dalam mengatasi masalah berkenaan. Pemanggilan semula ini melibatkan kenderaan yang telah dihasilkan antara November 2023 sehingga April 2024, melibatkan sekitar 3878 Tesla Cybertrucks.

Masalah ini dikatakan timbul disebabkan ketika pemasangan, mereka menggunakan sabun untuk memasang pad pada pedal pemecut – sekaligus membawa kepada kekurangan ketahanan pad pada pedal berkenaan.

Berbeza dengan beberapa masalah sebelum ini, Tesla tidak boleh membaiki masalah ini melalui perisian semata, tetapi sebaliknya memerlukan pelanggan membawa Tesla Cybertruck ke pusat khidmat dan membaikinya tanpa sebarang kos tambahan.

Komen