Nothing baru-baru ini telah melancarkan dua TWS baharu iaitu Ear dan Ear (a). Kedua-duanya menggunakan nama baharu, dimuatkan dengan banyak ciri audio berkualiti tinggi seperti LHDC 5.0, LDAC, Hi-Res, pembatalan hingar aktif, kawalan penyama dan paling unik adalah sokongan ChatGPT terbina. Semasa acara pelancaran Nothing Apparel di Crossover, The Exchange TRX mereka telah mendedahkan tarikh jualan bagi kedua-dua TWS.

Nothing Ear dan Ear (a) boleh dibeli lebih awal melalui laman web Crossover seawal 27 April 2024. Sementara jualan umum adalah pada 11 Mei 2024 akan datang. Harga jualan masih sama iaitu RM659 untuk Ear dan RM479 untuk Ear (a). Mereka yang membeli di Crossover akan menerima hadiah menarik seperti pelindung pod pengecas yang boleh digantungkan pada beg dan beberapa yang lain dengan kerjasama Crossover. Hadiah ini menurut wakil Nothing tidak akan dijual secara berasingan.


Bagi yang berminat dengan pakaian, Nothing Apparel buat pertama kalinya dilancarkan di Malaysia selepas diumumkan pada Disember 2023. Hanya di Crossover setakat ini, Transparent Labcoat dijual pada harga RM999 dengan rekaan lutsinar serta poket simpanan Nothing Phone untuk tayang lampu Glyph. Sementara Transparent Cap juga dengan rekaan lutsinar berharga RM199. Pakaian lain seperti Heavy Hoodie, Ripstop Overall, Ripstop Tracksuit Jacket, Ripstop Tracksuit Trousers dan baju Nothing hanya akan dijual secara berperingkat atau jika menerima permintaan yang tinggi.