Carian
Honor Band 9 Boleh Didapati Di Malaysia Pada Harga RM199
April 22, 2024 Amy Maizuraa

Majlis pelancaran hari ini turut memperlihatkan Honor Band 9 diumumkan secara rasmi di Malaysia. Ia merupakan seutas penjejak kesihatan dengan sebilangan fungsi memadai yang bukan sahaja membolehkan pengguna kekal aktif. Malahan memungkinkan pengguna mewujudkan persekitaran penjagaan diri secara sendiri dengan lebih baik.

Honor Band 9 dilengkapi skrin AMOLED sebesar 1.57-inci beresolusi 402 x 256 piksel dan kadar segar semula 60Hz. Ia dilihat lebih besar berbanding model terdahulu dengan skrin 1.47-inci. Tubuh digunakan mempunyai bahan berbeza yang termasuk plastik dan logam tanpa sebarang butang fizikal.

Seterusnya sensor kesihatan disediakan pula merangkumi pemantauan jantung, pola waktu tidur, tekanan serta oksigen dalam darah. Kemudian diikuti lebih 96 mod sukan dengan 11 daripadanya daripada jenis professional dan 85 lagi boleh disesuaikan. Bateri digunakan pula boleh beroperasi hingga 14 hari dan kalis air 5ATM.

Bagi yang berminat, Honor Band 9 dijual di Malaysia pada RM199 seutas dengan pilihan warna Purple, Black dan Blue. Ketersediaan adalah bermula 25 April 2024 melalui pengedar sah rasmi Honor di seluruh Malaysia.

Komen