Perjalanan jauh menggunakan kenderaan elektrik ke Pantai Timur sehingga kini menjadi satu perkara yang mencabar sekiranya pemandu tidak merancang sebaiknya, atau kerap memandu pada kelajuan yang menggunakan bateri pada kadar yang tinggi. Minggu ini memperlihatkan pengecas EV Shell Recharge di kawasan Rehat & Rawat Perasing, Terengganu telah sedia digunakan.


Terdapat dua pengecas yang beroperasi di kawasan rehat ini, dengan kuasa pengecasan DC yang boleh diberikan sehingga 180kW, tertakluk kepada keupayaan EV tersebut dan juga bilangan EV yang mengecas. Sekiranya terdapat dua EV yang sedang mengecas, kapasiti pengecasan berkemungkinan hanya mencapai 90kW untuk setiap satunya.
Dari segi harga, sama seperti pengecas Shell Recharge yang lain, memerlukan pengguna melancarkan aplikasi Parkeasy. Untuk setiap pengesahan tempahan, caj 5 kredit (bersamaan RM 5) akan dikenakan, dan setiap kWh akan dicaj sebanyak 2.20 kredit (bersamaan RM 2.20). Sekiranya pengecasan telah tamat melebihi 15 minit pertama, bayaran ‘idle’ akan dikenakan sebanyak 8 kredit (bersamaan RM 8) untuk setiap 15 minit.
Dengan adanya pengecas EV Shell Recharge Perasing ini, secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan dan memberikan lebih pilihan kepada pengguna EV yang ingin menghala ke Pantai Timur, dan tidak sekadar terhad kepada pengecas di Gambang atau di Paka. Malah pengguna juga secara teorinya boleh mengecas penuh di Perasing, dan terus sehingga ke Kota Bharu tanpa memerlukan sebarang pengecasan.