Mark Zuckerberg pada suatu ketika dahulu agak kecewa apabila lambat dalam arena peranti mudah-alih, sekaligus membuatkan mereka tertinggal dibelakang Apple dan Google dalam menguasai pasaran berkenaan. Sejak daripada itu, Mark Zuckerberg melihat kehadapan, dan merancang untuk menguasai platform seterusnya.

Kini, nampaknya Meta mula mengorak langkah bukan sahaja melalui penawaran model bahasa raya LLaMa, tetapi kini turut menambah satu lagi penawaran secara terbuka kepada pengeluar lain, iaitu Horizon OS yang menguasakan set realiti-maya, Meta Quest.
Dengan langkah ini, ia sekaligus membolehkan pengeluar pihak ketiga untuk menggunakan sistem operasi yang dibangunkan oleh Meta berkenaan dalam membangunkan set kepala masing-masing, termasuk menggunakan ciri seperti gestur dan juga fungsi lain. Ini sekaligus menjadikan Horizon OS akan menerajui arena set realiti-maya, lebih kurang seperti Android yang menguasakan telefon pintar.
Meta menyatakan antara syarikat yang akan menghasilkan peranti menggunakan platform berkenaan adalah Asus, Lenovo dan juga Xbox.