Carian
Cybercab Ialah Nama Perkhidmatan Seru Pandu Tesla
April 24, 2024 Effi Saharudin

Tesla akan melancarkan perkhidmatan robotaxi mereka pada Ogos depan. Tetapi pagi ini ketika mengumumkan laporan kewangan syarikat untuk Q1 2024, Tesla memperlihatkan rekaan aplikasi seru pandu untuk menggunakan perkhidmatan ini.

Dapat dilihat fungsi “Summon” untuk pelanggan memanggil robotaxi serta skrin tetapan suhu kabin yang diinginkan. Dalam sesi soal jawab, Elon Musk mengatakan perkhidmatan ini akan dipanggil Cybercab. Pemilik kenderaan Tesla boleh menyenaraikan kenderaan mereka untuk digunakan oleh Cybercab.

Mereka boleh menetapkan siapa yang dibenarkan menggunakannya dan menyaring hanya pelanggan dengan jumlah bintang tertentu sahaja. Dengan Cybercab, pemilik Tesla boleh menjana pendapatan ketika kereta tidak digunakan sendiri.

Perkhidmatan robotaxi telah diumumkan lebih 6 tahun lalu dengan Musk pada waktu tersebut meramalkan lebih 1 juta teksi swapandu mereka akan beroperasi pada tahun 2020. Seperti projek Roadster, Cybertruck dan Tesla Semi kesemua janji Musk mengalami kelewatan.

Sistem FSD yang memberikan kemampuan “swapandu” hanya sekadar Tahap 2 pada waktu ini tidak seperti perkhidmatan Waymo oleh Google yang sudahpun beroperasi tanpa pemandu manusia di San Francisco sejak 2022.

Komen