Carian
Tesla Model 3 Performance Dilancarkan Dengan 500HP – Harga Bermula RM242,000
April 24, 2024 Effi Saharudin

Tesla Model 3 Performance telah dilancarkan sebelum laporan kewangan terkini Tesla diumumkan. Ia adalah berasaskan Model 3 baharu tetapi dipertingkatkan dengan dwi-motor yang menawarkan lebih daripada 500 kuasa kuda. Ini membolehkan Model 3 Performance memecut dari 0-100 kmj dalam masa 3.1 saat sahaja.

Selain motor elektrik lebih berkuasa, model ini hadir dengan kit tubuh lebih agresif di bahagian depan dan belakang. Sistem brek dipertingkatkan dengan angkup lebih besar membolehkan kenderaan dihentikan dengan lebih baik. Untuk membezakannya lagi dengan model biasa, kerusi kini adalah dari jenis bakul untuk pemandu serta penumpang hadapan.

Kerana ia kenderaan yang mementingkan prestasi, Model 3 Performance hanya mempunyai jarak perjalanan dianggarkan 528 km WLTP yang adalah lebih baik berbanding 513 km WLTP yang mampu dilakukan Model 3 paling asas tetapi lebih rendah berbanding 629 km WLTP untuk Model 3 Long Range.

Jualan telah dibuka di Malaysia pada harga bermula RM242,00 dan meningkat ke RM285,000 sebuah untuk model dengan FSD serta pilihan warna paling premium. Jika pesanan dilakukan hari kenderaan boleh diterima seawal Q2 2024.

Komen