Carian
Samsung Music Frame Boleh Dipratempah Pada Harga RM1499
April 24, 2024 Effi Saharudin

Januari lalu Samsung Music Frame telah dilancarkan dengan ia adalah speaker pintar yang kelihatan seperti bingkai gambar. Seperti siri TV The Frame sebelum ini, Music Frame direka untuk digantung pada dinding dan kelihatan tidak ketara sebagai sebuah speaker. Bagi yang berminat Samsung Malaysia telah membuka pratempahan untuk Music Frame pada harga istimewa RM1499 sehingga 2 Mei hadapan. Selepas tarikh tersebut ia akan dijual pada harga RM1999 sebuah.

Music Frame dilengkapi dua woofer, dua tweeter dan dua pemandu midrange yang membolehkan ia memainkan audio Dolby Atmos. Sehingga lima Music Frame boleh digabungkan secara serentak. Ia turut serasi dengan sistem Q-Symphony membolehkan ia berfungsi selari dengan TV pintar keluaran Samsung.

Menerusi sistem Samsung SpaceFit pula, speaker akan menala audio secara automatik mengikut saiz bilik. Peranti muzik boleh ditambat kepada Music Frame menggunakan bluetooth serta sambungan WiFi tetapi tiada sokongan AirPlay 2 pada ketika ini.

Kerana ia produk Samsung, speaker bingkai gambar ini juga boleh dijadikan hub untuk peranti internet berhubung SmartThings. Setiap bingkai mempunyai bahagian penutup akrilik dengan pemilik boleh memilih untuk meletakkan gambar atau mencetak sendiri karya seni yang ingin dipaparkan di hadapan.

Komen