Carian
Pandang Pertama Vivo V30e 5G – Ringan, Nipis Dan Eksklusif
April 25, 2024 Amy Maizuraa

Vivo V30e 5G akan dilancarkan di Malaysia pada 2 Mei 2024. Seterusnya menjadi peranti ketiga dalam keluarga V30 yang dilengkapi spesifikasi kelas pertengahan. Penekanan juga masih diberikan kepada sistem pengimejan mudah alih selain diselitkan dengan reka bentuk anggun serta kapasiti bateri yang meningkat. Amanz telah diberi berpeluang untuk mencubanya dengan lebih awal sebelum dilancarkan secara rasmi dan berikut pandang pertama untuk peranti ini.


Spesifikasi Ringkas

VIVO V30e 5G
Skrin6.78-inci, 120Hz, DCI-P3, 8000000:1
2400 X 1080 piksel, 1300nits
PemprosesSnapdragon 6 Gen 1 (6nm)
Cip4 x 2.2 GHz Cortex-A78
4 x 1.8 GHz Cortex-A55
Cip GrafikAdreno 710
RAM8GB RAM
(+8GB RAM Maya)
Muatan Dalaman256 ROM
MikroSD 1TB
Kamera Utama50 MP, f/1.9, Sony IMX882
8 MP, f/2.2, (Ultra-lebar)
4K@30fps, 1080p@30fps
Aura Light 3.0
Kamera Depan32 MP HD f/2.0
1080p@30fps
Bateri5,500mAh
44W FlashCharge
SIM/TelefoniSIM Nano + SIM Nano/MicroSD
NFCAda
Infra MerahTiada
Kalis AirIP64
Sistem ImbasanCap Jari Bawah Skrin
Imbasan Wajah
Harga JualanAkan Dikemaskini

Rekabentuk Dan Skrin

Melihat pada reka bentuk, ia menampilkan koleksi yang melambangkan keanggunan dan kecantikan. Hadir dalam beberapa warna sama ada pastel dan terang, kelebihan koleksi ini terletak pada perincian binaan serta kemasan yang ditampilkan. Melaluinya rekaan tubuh yang kemas, nipis dan ringan menjadikannya lebih mudah dikendali dalam pelbagai situasi. Binaaannya juga terasa kukuh tanpa bunyi aneh apabila diketuk meskipun panel belakang diperbuat daripada plastik. Begitu juga dengan bingkai aluminium keras yang membentuk kerangka utama terasa tegap dan selesa dalam tangan.

Contoh paling mudah yang kami boleh berikan adalah sewaktu lawatan kerja selama dua hari satu malam ke Pantai Remis, Jeram Kuala Selangor baru-baru ini. Sepanjang lawatan tersebut, kami telah membawa peranti ini ke mana-mana sahaja termasuk ketika berada di atas bot untuk menuju ke beberapa destinasi dan melakukan aktiviti berbasikal di sekeliling kawasan penginapan. Kami juga sering meletakkan peranti di dalam poket seluar belakang dan langsung tidak menimbulkan sebarang masalah. Digunakan untuk tujuan lain seperti mengambil gambar, merakam video serta membuat suntingan dalam tempoh masa panjang juga terasa selesa tanpa memberi beban pada tangan.

Paling ketara adalah terdapatnya perbezaan untuk penggunaan bonggol kamera utama yang kini berbentuk bulat dan bersaiz agak besar. Sekali imbas ia mengingatkan kami kepada beberapa peranti lain di bawah siri Vivo X dan X Fold sebelum ini. Bonggol kamera ini dibina menggunakan bahan aluminium putih berkilau dan bahagian sekelilingnya pula dihiasi dengan kemasan bergerigi. Sebanyak dua kamera utama dengan tetapan 50MP utama (Sony IMX 882) + 8MP ultra-lebar yang dimuatkan di dalamnya.

Kemudian diikuti dengan sokongan Aura Light Portrait 3.0 serba baharu dengan kemampuan menyesuaikan suhu warna berdasarkan persekitaran subjek. Selain turut mampu menyesuaikan kecerahan lampu berdasarkan jarak subjek secara langsung. Misalnya apabila subjek dalam keadaan dekat kecerahan lampu tersebut akan kelihatan lembut dan seimbang. Kemudiannya menjadi lebih terang pula apabila subjek berada dalam jarak yang jauh bagi memudahkan proses tangkapan gambar.

Seterusnya skrin peranti masih lagi 6.78-inci melengkung dengan resolusi FHD+ (2400 X 1080) dan kadar segar semula 120Hz. Ini adalah sepertimana yang terdapat pada dua model sedia ada di bawah siri V30 sebelum ini. Situasi bertambah menarik apabila keempat-empat bezel adalah hampir sama besar membuatkannya sedap dipandang mata. Kewujudan lubang kamera pada bahagian tengah juga langsung tidak menganggu sewaktu kami menggunakan peranti untuk tujuan kerja, hiburan mahupun komunikasi seharian.

Butang kuasa dan laras suara masih di posisi sama pada sebelah kanan tubuh peranti. Tiada apa-apa pada sebelah kiri manakala port USB-C terletak di bahagian bawah bersama pembesar suara dan slot untuk SIM. Tubuh peranti juga melepasi piawaian kalis air serta debu IP64 yang berguna sebagai pelindungan tambahan. Dalam masa sama mempunyai pengimbas cap jari terbina dalam skrin. Seperkara yang dikorbankan oleh Vivo ialah bicu audio namun ia tidaklah begitu mengejutkan. Malahan rata-rata peranti di bawah siri yang sama turut tidak diberikan fungsi tersebut.


Perkakasan Dan Perisian

Peranti yang diterima menggunakan cip Snapdragon 6 Gen 1 dengan gabungan memori 8GB RAM dan storan 256GB untuk tunjang utama. Seterusnya wujud juga sistem Extended RAM yang boleh menambah 8GB RAM secara maya menggunakan bahagian storan. Ia berfungsi secara automatik tanpa kebolehan mengubah saiz memori maya yang digunakan.

Peranti juga menjalankan sistem operasi terkini FunTouch OS 14 berasaskan Android 14. Ia merupakan versi terkini dan papan antaramukanya dilihat mesra pengguna dengan susunan yang kemas. Ia turut menawarkan lebih banyak pilihan untuk tetapan peribadi bersama sebahagian besar ciri yang dioptimum dengan baik. Misalnya seperti fungsi Mini Windows yang membolehkan pengalaman multi-tugas menjadi lebih lancar. Selain turut menyokong sehingga 12 aplikasi berbeza di latar belakang dengan proses tukar ganti lebih mudah.

Selain itu FuntouchOS14 juga dilengkapi ciri suntingan video lebih baik dengan kebolehan tetapan video yang boleh disesuaikan sehingga resolusi 4K/60FPS bersama 25 penuras diberikan bersama. Diikuti juga dengan kemaskini pada fungsi album yang kini membenarkan pengguna melaras pelbagai perkara termasuk kelajuan main balik video dan menyimpan gambar dengan lebih selamat melalui Hidden Album.


Kamera

Sistem dwi-kamera yang digunakan terdiri dengan sensor 50MP IMX882 yang menyokong OIS terbina. Ini digabungkan juga dengan sensor ultra sudut lebar 8MP yang menyokong zum mencapai 20X. Kamera hadapan pula sebesar 32MP HD f/2.0 dengan fokus kekal digunakan. Pilihan tangkapan gambar pula boleh diambil pada nisbah 1:1, 4:3, 16:9 dan penuh. Kemudian diikuti dengan pelbagai mod kamera terbina seperti Night, Portrait, Photo, Video dan More.

Kamera juga mudah digunakan dengan sistem kecerdasan terbina yang secara automatik boleh memilih tetapan sesuai mengikut situasi. Bagi yang memerlukan aplikasi kamera lebih professional terdapat juga fungsi Micro Movir turut boleh digunakan dengan pelbagai templet menarik terbina. Kemampuan video pula boleh dirakam pada tetapan maksimum 4K 60FPS dengan hanya rakaman 1080P 30FPS sahaja pula untuk kamera hadapan. Sistem penstabilan diberikan pula hanya terhad pada rakaman 1080P 60FPS sahaja.


Bateri

Bateri 5,500mAh yang digunakan boleh dicas semula pada kuasa maksimum 44W. Ia juga merupakan kapasiti bateri terbesar yang pernah digunakan Vivo untuk barisan peranti di bawah siri V. Pengecasan adalah secara berwayar menggunakan port USB-C dengan kepala pengecas disediakan di dalam kotak pembelian.


Apa Di Dalam Kotak

Berikut ialah yang disertakan dalam kotak Vivo V30e 5G :

  • 1 x Vivo V30e 5G.
  • 1 x Kepala Pengecas 44W.
  • 1 x Kabel USB-C ke USB-A.
  • 1 x Kerangka Silikon.
  • 1 x Manual Pengguna.
  • 1 x Pencungkil SIM.

Kesimpulan

Jadi bagaimana? Melihat secara umum penawaran peranti pada dasarnya tidak jauh berbeza dengan dua model di bawah siri V30 yang sedia ada. Kalau ada perbezaan ia terletak pada kapasiti bateri yang meningkat, konfigurasi kamera, cip pemproses dan rekaan uniknya yang bermotifkan sumber alam. Tubuh peranti juga kalis air IP64 yang amatlah berguna sebagai pelindungan tambahan. Pun begitu kesemua ini masih bergantung pada keperluan masing-masing. Ulasan penuh juga akan ditebitkan kemudia pada masa akan datang.

Komen