Carian
Forum Trust Circle Kedua Membincangkan Kepentingan Membina Kepercayaan Di Era Digital
April 25, 2024 Nazrin

Forum Trust Circle ialah sebuah acara setiap suku tahunan yang membincangkan tentang kepentingan keselamatan digital diantara pihak kerajaan dan juga pelbagai syarikat-syarikat yang menggunakan teknologi maklumat sebagai salah satu cabang utama perniagaan mereka.

Forum kedua acara ini merupakan sebuah kolaborasi diantara pihak CelcomDigi dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang membincangkan tentang kepentingan membina kepercayaan di era digital ini. Kecerdasan buatan juga merupakan satu fokus sepanjang forum ini, khususnya dengan bagaimana teknologi tersebut telah berkembang dan digunakan secara meluas untuk riadah dan juga tujuan produktiviti.

Dihadiri oleh wakil-wakil dari lebih 40 syarikat dan agensi merentasi pelbagai industri, Forum Trust Circle kali ini membincangkan cara-cara terbaik untuk memastikan data syarikat, pengguna dan juga rakyat selamat, dan juga tentang cara-cara untuk membina kepercayaan pengguna melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan yang berhemah.

Pakar-pakar keselamatan data dan pengguna dari CelcomDigi, Microsoft Malaysia, SKMM, KPJ Healthcare, IIS Partners, Cisco, MIMOS dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia juga memberikan pendapat-pendapat mereka tentang kepentingan untuk memberi didikan tentang kepentingan keselamatan siber masih perlu dititikberatkan walaupun penggunaan teknologi kecerdasan buatan memberi manfaat yang banyak dari segi memudahkan kerja.

Penekanan juga diberikan kepada syarikat-syarikat dan badan kerajaan untuk memberi panduan kepada para pekerja dan juga rakyat tentang penggunaan perkhidmatan kecerdasan supaya mereka faham bahawa penggunaannya harus dilakukan secara berhati-hati untuk mengurangkan risiko seperti penggunaan data yang tidak tepat, dan juga penirisan maklumat sulit syarikat ataupun peribadi kepada syarikat-syarikat yang menyediakan perkhidmatan kecerdasan buatan ini, khususnya perkhidmatan yang memerlukan sambungan internet untuk anda menghantar teks prom dan sebagainya ke mesin pelayan kecerdasan buatan.

“Usaha menangani isu kepercayaan di zaman AI kini lebih penting, disebabkan pengumpulan data yang
meluas oleh AI dari pelbagai sumber awam. Meskipun AI mempunyai keupayaan yang bermanfaat
dalam mencipta pelbagai inovasi, keupayaan ini menimbulkan kebimbangan yang signifikan berkaitan
privasi, keselamatan, isu ketulenan bahan, hak cipta dan isu-isu lain yang penting. Oleh itu, adalah
penting untuk organisasi bersikap telus dalam cara pengurusan data dan faktor risiko yang terlibat
demi membina kepercayaan apabila kita memanfaatkan teknologi tersebut” ujar Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi.

Komen