Carian
Peringatan Google Keep Akan Disimpan Pada Task
April 26, 2024 Fahim Zahar

Google Keep adalah aplikasi mengambil nota kegemaran saya. Benar ia tidak sempurna dan banyak kekurangan ciri berbanding aplikasi lain, tetapi disebabkan ia pantas dan mudah diakses secara rentas peranti membuatkan ramai menggunakannya. Terbaru, ciri peringatan pada Keep kini akan disimpan pada Task.

Google Task adalah aplikasi membuat senarai tugasan yang ramai pengguna Workspace gunakan. Selepas ini semua peringatan yang dicipta pada Keep akan terus disimpan pada Task secara automatik. Bukan itu sahaja, peringatan ini turut boleh diakses melalui Google Assistant dan juga Google Calendar.

Menurut Google ciri ini untuk lebih memudahkan pengguna Workspace menguruskan peringatan di mana sahaja. Jika ada peringatan diubah pada Keep, ia turut akan dikemaskini secara automatik pada aplikasi Gmail atau Google Chat juga. Kemas kini ini dikatakan akan diberikan secara berperingkat.

Komen