Carian
Ini Adalah Rekaan Oppo A60 Untuk Pasaran Malaysia
April 27, 2024 Amy Maizuraa

Rasanya ramai yang sedia maklum tentang peranti baharu Oppo A60 yang akan ke pasaran Malaysia tidak lama lagi. Ia juga sedia diperlihatkan menerusi imej dan video promosi dengan sentuhan moden diberikan seiring kehendak pengguna hari ini. Sementara menunggu pelancaran rasmi, di sini kami kongsikan terlebih dahulu penawaran pada peranti dengan lebih dekat. Namun seperti dinyatakan, fokus utama artikel sudah tentunya mengenai rekaan semata. Kemudian butiran lanjut berkaitan perkakasan dalaman dan harga jualan hanya akan didedahkan selepas pelancaran rasmi kelak.


Apa Di Dalam Kotak?

Teruskan artikel sesi nyahkotak bagi melihat apa yang disediakan Oppo untuk peranti ini. Melihat pada kemasan pembungkus jelas menunjukkan konsep minimalis yang menggabungkan warna putih dan kelabu digunakan. Kalau perasan konsepnya sama dengan generasi sebelum ini. Kemudian terdapatnya penjenamaan peranti dengan tulisan hitam menghiasi bahagian hadapan kotak bungkusan. Diikuti juga sejumlah butiran spesifikasi ringkas dan variasi warna seperti biasa di bahagian belakang.

Pertama sekali yang boleh dilihat selepas membuka kotak sudah tentunya kotak bewarna putih yang mengandungi kerangka pelindung, manual pengguna dan pencungkil SIM. Seterusnya diikuti pula dengan telefo pintar serta beberapa aksesori lain seperti kepala pengecas dan kabel sejenis USB-A ke USB-C.


Rekaan Fizikal

Nampak serupa tapi tidak sama. Perbezaan adalah pada panel belakang peranti yang tidak lagi menggunakan rekaan dwi-tona seperti Oppo A78 sebelum ini. Turut menjadi tarikan utama ialah kepelbagaian pilihan warna disediakan. Ia mengetengahkan elemen kontra bersama hiasan abstrak untuk mewujudkan daya tarikan moden. Khususnya untuk warna biru atau Ripple Blue yang mempunyai kilauan halus untuk kesan yang lebih menyerlah.

Ia diinspirasikan daripada keindahan ombak di lautan biru dengan sentuhan unik seakan berlian yang berkilaun. Bahan khusus turut digunakan dalam proses pembuatannya untuk mencipta kesan tiga dimensi seperti ombak yang sentiasa beralun tenang di permukaan laut. Terdapat satu lagi pilihan warna dipanggil Midnight Purple tetapi sayangnya kami tidak berpeluang untuk melihatkan dengan mata sendiri. Imej promosi rasmi menunjukkan ia turut mempunyai kilauan halus yang menarik di bahagian belakang.

Seterusnya sebanyak dua bonggol kamera dengan sistem dwi-kamera digunakan pada peranti. Satu lensa besar mendominasi pada bonggol kamera di bahagian atas dengan satu lagi lensa diletakkan berasingan dalam bonggol di bawah. Turut dapat dilihat bonggol kedua mempunyai sebuah LED Flash disertakan bersama. Selain diikuti juga penjenamaan Oppo yang menghiasi bahagian bawah panel belakang peranti.

Skrin hadapan pula sepenuh rata dengan sebuah lubang kecil diletakkan di bahagian tengah. Tidak banyak yang boleh dikatakan mengenai binaan bezel yang masih nipis pada bahagian atas dan sisi. Sementara itu kewujudan dagu agak tebal di bahagian bawah pula tidak mengejutkan. Malahan peraka ini seakan menjadi kebiasan untuk segmen peranti sebegini. Tapi apa yang penting adalah pengalaman memegang peranti setakat ini memberi keselesaan yang baik tanpa sebarang masalah.

Butang kuasa dan laras audio boleh ditemui pada sisi kanan. Kesemuanya juga dibina dengan baik bagi memastikan keselesaan ketika jari menekan. Dalam masa sama sokongan pengimbas cap jari turut terbina pada butang kuasa tersebut. Kemudian talam SIM pula diletakkan pada sisi bertentangan.

Sementara itu port USB-C berada di bahagian bawah bersama pembesar suara, lubang mikrofon dan bicu audio 3.5mm. Benar telefon pintar baharu ini mempunyai bicu audio 3.5mm yang semestinya menjadi nilai tambahan menarik. Hal ini memandangkan tidak ramai pengeluar yang menyertakan fungsi berkenaan pada peranti terkini masing-masing.


Sekian perkongsian mengenai penawaran rekaan pada peranti baharu Oppo ini. Ya, seperti yang diperkatakan tadi, kesemua butiran lanjut yang termasuk perkakasan dalaman dan harga jualan rasmi akan didedahkan selepas pelancaran rasmi nanti. Ulasan penuh juga akan ditebitkan kemudian pada masa akan datang.

Komen