Carian
Ipoh Akan Mempunyai Platform Penstriman Video Sendiri
April 28, 2024 Effi Saharudin

Kelak Bandaraya Ipoh akan mempunyai platform penstriman sendiri seakan Disney+ dan Netflix. Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata platform penstriman digital ini akan dibangunkan secara kerjasama antara Majlis Bandaraya Ipoh dengan pelakon serta penerbit terkemuka Afdlin Shauki menurut laporan Ipoh Echo.

Tujuan platform dibangunkan ialah untuk melonjakkan industri kreatif di Ipoh sebagai sumber pendapatan ekonomi baharu. Ini juga adalah usaha MBI untuk menjadikan Ipoh pusat perfileman negara seperti Bollywood kepada India. Konsep serta cadangan projek ini akan dilakukan bermula tahun depan dengan nama yang akan digunakan belum lagi diumumkan.

Ipoh adalah bandaraya yang kerap kali menjadi latar belakang filem di Malaysia seperti yang diarahkan oleh Yasmin Ahmad dan Mamat Khalid. Ia menjadi watak tersendiri dalam filem seperti Sepet seperti mana filem Stephen King kesemuanya berlaku di Maine.

Sejauh manakah “Ipohflix” ini akan dapat membantu industri perfileman di Perak masih lagi belum diketahui tetapi yang pasti Ipoh ialah bandaraya pertama Malaysia yang akan mempunyai platform penstriman sendiri.

Komen