Infrastruktur pengecasan EV merupakan satu titik penting dalam pemilikan EV memandangkan kewujudan pengecas EV masih di tahap permulaan. Kebanyakan pemilik EV akan mengecas di rumah dan ini dapat dilakukan sekiranya pemilik tinggal di rumah yang membenarkan pengecasan di pasang, dan tidak seperti di pangsapuri dan sebagainya. Hari ini Schneider Electric dan JusEV mengumumkan kerjasama untuk memasang lebih 100 pengecas di kawasan komersil seperti pusat membeli-belah dan bangunan pejabat.

Hari ini pusat pengecasan pertama mereka telah dilancarkan di Plaza 33 dimana terdapatnya 2 pengecas DC 180kW dan 2 pengecas AC 22kW di ruangan parkir berhadapan lobi. Pengecas DC ini boleh memberikan kuasa maksimum 180kW, atau pembahagian secara dinamik sekiranya 2 kenderaan sedang mengecas serentak.

Pengecas yang boleh diaktifkan dengan aplikasi JusEV ini juga turut menyokong pembayaran terus menggunakan kad debit dan juga kad kredit, memudahkan transaksi tanpa aplikasi. Buat masa ini kadar pengecasan di lokasi ini belum dipaparkan menerusi aplikasi namun JusEV menyatakan kadar yang akan dicaj adalah RM 1.60 per kWh untuk pengecasan DC, RM 1 per kWh untuk pengecasan AC 22kW, dan kadar ‘idle’ RM 10 untuk setiap 30 minit sekiranya kenderaan masih tersambung kepada pengecas.

Schneider Electric turut berkongsi mengenai pengecas mereka yang direka dengan penekanan untuk kelestarian sejagat. Bahan-bahan yang digunakan untuk pengecas mereka menggunakan bahan kitar semula, dan pengecas mereka turut memberikan maklumat berkenaan faedah kepada sejagat sepanjang penggunaan pengecas mereka.

Schneider dan JusEV turut menyatakan yang mana sasaran lebih 100 pengecas menjelang akhir 2024 ini bakal membawakan lebih banyak pengecas AC dimana hanya 10% dari jumlah tersebut merupakan pengecas DC. Justeru lebih banyak pengecasan dipasang mereka yang menyasarkan kawasan seperti pejabat, pusat membeli-belah, parkir, mahupun untuk kegunaan syarikat. Ini sudah pastinya dapat memberikan lebih pilihan mengecas untuk pemilik EV dan mengurangkan kegusaran pengecasan.