Sudah menjadi perkara biasa untuk pengeluar peranti China menjual peranti set rasmi atau versi global terus di kedai atas talian. Sama ada Shopee, Lazada atau laman web rasmi – strategi jualan ini menjadi kerana mereka boleh menawarkan harga peranti jauh mampu milik berbanding pesaing. Tetapi kandangkala ada isu seperti kedai tidak menepati janji promosi, tidak menerima tuntutan jaminan dan banyak lagi membuatkan sesebuah kedai itu boleh ditendang keluar atau terus dihalang untuk meneruskan operasi.

Terbaru, kedai Shopee rasmi realme Global dilihat tidak lagi boleh diakses. Apabila dibuka, laman Shopee memberitahu yang kedai ini telah diharamkan dan akaun pemilik kedai telah dibekukan. Dalam semakan saya sendiri di Facebook Group realme Malaysia Community, ramai memberitahu yang kedai ini kerap tidak bertanggungjawab dalam menepati janji promosi. Mereka kerap membatalkan tempahan yang dilakukan pelanggan apabila ada promosi jualan murah dengan alasan kehabisan stok.

Ketika artikel ini ditulis, realme Malaysia masih tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai situasi kedai Shopee realme Global ini dihalang akses oleh Shopee. Harapnya sebarang isu boleh diselesaikan secepat mungkin atau realme Malaysia patut gabungkan sahaja operasi dengan realme Global untuk menguruskan hanya satu kedai. Apa kata anda?