Carian
Arc Adalah Satu Lagi Pelayar Web Chromium Untuk Windows
May 2, 2024 Fahim Zahar

Pelayar web yang digelar sebagai sistem operasi untuk web kini boleh digunakan pada peranti Windows. Ia adalah Arc dan dibangunkan oleh The Browser Company. Syarikat ini ditubuhkan oleh Josh Miller dan Hursh Agrawal dengan pasukan dari bekas pekerja Instagram, Tesla, Medium dan Google.

Arc adalah pelayar web yang dibangunkan berasaskan Chromium, sama seperti Microsoft Edge atau Google Chrome. Tetapi The Browser Company membina aplikasi ini dengan Swift yang selalu digunakan untuk membangunkan aplikasi macOS dan iOS. Arc adalah pelayar web yang mementingkan ketenangan kerana semua elemen pada aplikasi ini adalah minimalis.

Semua tab, penanda buku dan lain-lain berada di bar sisi. Di bar ini turut terdapat Space iaitu ruang atau profil penggunaan yang berbeza seperti khusus untuk kerja dan hiburan. Setiap Space turut boleh mempunyai tema warna tersendiri. Arc turut menyertakan ciri satu tab dua web untuk multi-tugasan yang lebih efisien. Menariknya, jika pengguna log masuk dengan akaun Arc semua sejarah pelayaran web akan diselarikan dengan aplikasi iPhone.

Beberapa ciri menarik lain seperti AI generatif Arc Max untuk rumusan laman web atau Little Arc untuk akses laman web sementara masih tidak ditawarkan pada Windows. Malah ciri Peek untuk hulur tetikus ke pautan yang disemat untuk pra-lihat laman web turut tidak berfungsi dengan baik. Satu ciri tambahan adalah semua pemalam Chrome disokong pada Arc. Jika anda berminat menggunakan Arc, pelayar web ini sedia dimuat turun di pautan di bawah.

Komen