Salah satu isu yang terbesar mengenai pemilikan kenderaan elektrik hari ini ialah masa yang diperlukan untuk mengecas kenderaan. Terkini, walaupun dengan pengecasan DC terpantas, pengguna masih perlu memerlukan masa 30-40 minit ke satu jam untuk mengecas kenderaan-kenderaan ini secara penuh.

Terkini, Mercedes-Benz dilaporkan telah menguji teknologi pengecasan EV terbaru mereka yang dinamakan Megawatt Charging System (MCS) yang boleh mengecas kenderaan elektrik pada kadar 1MW. Mercedes dilihat menguji sistem pengecasan ini menggunakan kenderaan elektrik ujian terbaru mereka, iaitu sebuah trak baru yang dinamakan Mercedes eActros 600.
Trak elektrik ini tampil dengan bateri sebesar 621kWH dengan jarak sejauh 500KM dengan satu pengecasan penuh. Dari segi pengecasan, Mercedes mengatakan bahawa ia akan tampil dengan sistem pengecasan CCS2 400kW, tetapi ia juga akan ditawarkan dengan penawaran sistem pengecasan MCS ini di masa akan datang. Setakat ini ia tidak diketahui lagi bilakah trak eActros 600 ini akan ditawarkan di pasaran Eropah.

Pengecasan MCS ini dijangka akan dimanfaatkan oleh kenderaan bersaiz besar seperti trak, semi, bas dan lori-lori elektrik terlebih dahulu kerana kenderaan-kenderaan elektrik ini dilihat hadir dengan saiz bateri yang cukup besar sekali. Kebarangkaliannya ialah teknologi ini akan dimanfaatkan sebagai platform pengecasan DC pantas untuk kereta-kereta EV di masa hadapan.