Carian
Sooka Bakal Hadir Dengan Dongel TV Android Tersendiri
May 3, 2024 Fahim Zahar

Sooka adalah platform penstriman video di bawah Astro khusus untuk pengguna yang tidak melanggan mana-mana pelan Astro. Ia menawarkan banyak penstriman siaran langsung sukan, siri TV asli Astro Originals dan banyak lagi. Terbaru, sooka dilihat bakal hadir dengan dongel TV tersendiri.

Dongel yang digelar sebagai sooka TV ini dilihat menjalankan sistem operasi Android 12. Sokongan Chromecast dan Google Assistant turut akan diberikan bersama DRM Widevine L1 serta codec AV1 yang mengurangkan penggunaan data ketika menstrim video. Dongel Sooka ini dijana cip Broadcom BCM72181 2.6 GHz empat teras dan dilengkapi memori 2GB RAM. Sistem Bluetooth 5.2 turut digunakan untuk sokongan sambungan alat kawalan dan speaker.

Sooka

Sooka TV dilihat dibangunkan oleh Prime, sebuah syarikat Taiwan yang pakar dalam kotak TV serta rangkaian Internet dalam rumah. Buat masa ini masih tidak pasti bila sooka TV akan dijual kepada semua orang. Jangkaan kami, sooka mungkin akan menawarkan pelan langganan khas untuk mendapatkan dongel ini atau mereka yang sedia melanggan sooka boleh membeli pada harga diskaun. Sama-sama kita nantikan.

Komen