Amazfit mempunyai penawaran baharu di Malaysia melalui Bip 5 Unity. Ia dilihat mengambil inspirasi pendahulunya Bip 5 dengan beberapa perubahan kecil. Antaranya seperti kerangka tahan karat yang menggantikan kerangka plastik pada model sebelum. Seterusnya lebih ringan dengan berat hanya 24 gram tidak termasuk tali.

Walau bagaimanapun, tiada perubahan dari segi saiz skrin yang masih sebesar 1.91-inci dengan resolusi 320 X 380 piksel. Kemudiannya digabung juga kaca 2.5D yang anti-cap jari. Amazfit melengkapkan lagi Bip 5 Unity dengan pelbagai ciri kesihatan serta kecergasan standard. Diikuti juga lebih 120 mod sukan dengan kemampuan mengesan aktiviti yang dilakukan secara automatik.

Ia juga boleh beroperasi sehingga 11 hari melalui bateri sebesar 300mAh disertakan. Dalam masa sama mempunyai mikrofon dan pembesar suara yang boleh digunakan untuk panggilan bluetooth. Bagi yang berminat, Amazfit Bip 5 Unity dijual pada RM279 seutas.