Carian
Apple Sedang Membangunkan Cip Kendiri Untuk Menjalankan Perisian AI
May 7, 2024 Effi Saharudin

Intel, Samsung, AMD, NVIDIA dan Google kesemuanya mempunyai cip kecerdasan buatan (AI) yang direka sendiri. Dengan rekaan sendiri, lebih banyak kawalan mengikut keperluan dapat dilakukan dan bagi syarikat lain mengurangkan pergantungan kepada NVIDIA. Menurut laporan Wall Street Journal, Apple juga telah memulakan usaha membangunkan cip AI kendiri.

Cip AI kendiri ini akan digunakan di pusat data Apple dengan ia menjalankan pelbagai perisian AI yang akan diperkenalkan pada acara WWDC 2024 bulan depan. Di Apple projek membangunkan cip sendiri ini menggunakan kod nama ACDC yang adalah singkatan untuk Apple Chips in Data Center.

Bukan rahsia lagi bahawa iOS 18 akan mempunyai pelbagai ciri AI tersendiri yang akan memberikan persaingan kepada ciri seperti Galaxy AI yang telah digunakan pada peranti Samsung tahun ini. Dengan AI PC serta telefon pintar AI syarikat lain telah dilancarkan, Apple tidak lagi boleh menanti untuk memperkenalkan ciri AI pada produk mereka tahun depan.

Berdasarkan apa yang kami telah gunakan sendiri, ciri AI bukan lagi gimik dan untuk sejumlah besar pengguna ia adalah ciri yang perlu bagi memudahkan kerja harian.

Komen