Di pasaran sekarang terdapat ribuan model telefon dengan saban minggu puluhan lagi model baharu dilancarkan. Ini menyebabkan kami tidak mampu untuk mengulas kesemuanya dan ada yang lewat diterbitkan. Tetapi apakah peranti paling laku di peringkat global? Menurut Counterpoint Research, 10 telefon pintar paling laku Q1 2024 dikeluarkan oleh Apple dan Samsung.

Telefon pintar paling laku ialah Apple iPhone 15 Pro Max dengan pegangan 4.4% jualan. Ini diikuti oleh iPhone 15 (4.3%), iPhone 15 Pro (3.7%) , iPhone 14 (1.9%) dan Samsung Galaxy S24 Ultra (1.9%). Yang menarik di sini ialah model iPhone paling premium mencatatkan jualan tertinggi untuk Apple dan Samsung.
Sebelum ini Apple melaporkan pendapatan jualan iPhone merosot pada suku lalu tetapi mereka masih mendominasi empat tangga teratas model paling laku. Bagi Samsung pula Galaxy S24 Ultra paling laku tetapi kedua paling laku ialah Galaxy A15 5G yang mampu milik. Samsung menawarkan peranti kelas pertengahan yang kompetitif dari sudut harga dan sokongan perisian terbaik di Android dalam kelas ini.
Apakah peranti yang anda gunakan sekarang dan adakah ia ada dalam senarai di atas?