Carian
Sonos Ace Tertiris, Fon Kepala Yang Ingin Bersaing Dengan AirPods Max
May 7, 2024 Fahim Zahar

Tahun lepas telah kami laporkan yang Sonos bakal melancarkan set fon kepala pada tahun ini. Fon kepala ini adalah Sonos Ace dan imej produk audio baharu Sonos ini telah tertiris. Berdasarkan rekaan yang didedahkan, ia kelihatan unik dan mempunyai sedikit persamaan dengan produk audio Apple.

Sonos Ace dilihat menggunakan rekaan yang sangat ringkas, minimalis dan nampak elegan. Bahagian tangkai untuk laras saiz kelihatan seakan AirPods Max, setiap cawan telinga ada butang fizikal dan juga ada suis kawalan. Kusyen pada cawan telinga turut boleh diganti agar ia boleh digunakan untuk jangka masa panjang.

Fon kepala ini dikatakan akan menjadi sebahagian daripada ekosistem produk audio Sonos. Misalnya, apabila filem ditonton pada TV dengan audio menggunakan soundbar Sonos – audio dari filem sama turut boleh didengari melalui Sonos Ace. Harga jualan fon kepala ini disenaraikan sebagai €403.58 iaitu sekitar RM2059. Sama-sama kita nantikan pelancaran Sonos Ace akan datang.

Komen