Carian
Nintendo Akan Membuat Pengumuman Mengenai Pengganti Konsol Switch Pada Tahun Kewangan Ini
May 7, 2024 Nazrin

Konsol permainan Nintendo Switch akan menyambut ulang-tahun ke 7 pada tahun ini, dan merupakan konsol permainan dengan jualan yang paling tinggi dalam sejarah syarikat Jepun tersebut.

Setelah menerima dua kemaskini dari segi penambahbaikan bateri dan juga paparan skrin OLED, Nintendo akhirnya mengatakan bahawa mereka akan membuat pengumuman rasmi mengenai pengganti kepada konsol Nintendo Switch tidak lama lagi.

Melalui akaun X/Twitter Nintendo, Shuntaro Furukawa mengatakan bahawa sebuah pengumuman akan dibuat pada tahun kewangan ini. Sebuah acara Nintendo Direct akan diadakan pada bulan Jun ini berkenaan pengumuman permainan-permainan baru, tetapi tidak akan menyentuh hal konsol baru tersebut.

Nintendo Switch

Pengumuman mengenainya akan dibuat pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak. Ini merupakan pengumuman rasmi pertama mengenai pengganti Nintendo Switch yang rasmi, setelah banyak tirisan maklumat yang dilaporkan mengenainya.

Buat masa ini ia tidak diketahui lagi samada Nintendo akan mengambil masa yang lama seperti pengumuman Nintendo Switch, yang diumumkan pada tahun 2015, dan hanya mula dijual pada tahun 2017. Jika ya, nampaknya ia akan mengambil masa beberapa tahun sebelum Nintendo akan mula menjual pengganti Switch ini.

Komen