Sejak daripada tahun lepas, kita telah melihat pihak Maybank bereksperimen dengan beberapa persediaan promosi untuk sokongan Google Pay. Namun, kita masih tidak ketahui lagi berkenaan bilakah ciri berkenaan bakal dilancarkan dan disokong oleh Maybank secara rasminya.

Terbaru, melalui pengindeksan laman oleh enjin carian Google, ia dilihat laman Google Pay pada domain Maybank2u diindeks oleh Google. Secara ringkas, ia memperlihatkan Maybank akan menyokong kad Visa dan Mastercard pada Google Pay – dan tidak terhad untuk kad kredit, tetapi juga kad debit. Pengindeksan Google berkenaan turut memperlihatkan Maybank akan menawarkan pulangan tunai sehingga 100% untuk sejumlah pengguna terawal.

Walaubagaimanapun, ini berdasarkan info ketika pengindeksan Google untuk laman Maybank berkenaan. Ia tidak diketahui lagi sama ada perkara sama akan kekal sama, atau berubah ketika pengenalan kelak. Kebiasaannya mesej pemasaran akan berubah ketika peringkat eksperimen dan pada peringkat akhir.
Buat masa ini juga, ia tidak diketahui lagi bilakah secara rasminya kita akan melihat sokongan Maybank pada Google Wallet. Sekiranya dilancarkan kelak, Maybank akan menjadi antara bank yang menyokong bukan sahaja Apple Pay, tetapi juga Google Wallet – sekaligus meliputi hampir semua pengguna peranti mudah-alih.