Jika anda gemar menonton video podsiar, anda pasti menyedari terdapat lebih daripada satu kamera digunakan. Setiap kamera memerlukan satu juruvideo dan ini menelan belanja serta masa yang tinggi. Sebentar tadi aplikasi Final Cut Camera telah diumumkan Apple dengan ia menyokong penstriman sehingga empat kamera iPhone atau iPad ditsrim terus kepada sebuah iPad.

Final Cut Camera ialah aplikasi untuk iPhone dan iPad. Menerusinya video daripada setiap kamera boleh distrim kepada sebuah iPad dengan kemudiannya disunting secara langsung di dalam aplikasi Final Cut Pro for iPad 2. Yang menjadikan Final Cut Camera unik ialah, keempat-empat kamera kemudiannya boleh dikawal terus dari iPad yang distrim. Dengan ini hanya seorang juruvideo boleh mengawal empat kamera secara serentak.
Aplikasi Final Cut Camera akan dilancarkan pada bulan Jun serentak dengan versi terkini Final Cut Pro for iPad 2. Untuk menggunakan ciri ini anda memerlukan sekurang-kurangnya iPhone Xs dengan iOS 17.4 dan iPad dengan iPadOS 17.4. Untuk menggunakan Final Cut Pro for iPad 2 pula anda memerlukan berkurang-kurangnya iPad dengan cip Apple M1.