Carian
Vaksin Untuk Kanser Otak Kini Diuji Pada Pesakit Manusia
May 8, 2024 Effi Saharudin

Glioblastoma ialah sejenis kanser yang paling kerap berlaku pada otak manusia. Menurut statistik, hanya sebilangan kecil pesakit yang berjaya dirawat akan dapat hidup selepas lima tahun kerana glioblastoma akan kembali. Penyelidik dari University of Florida telah melakukan ujian klinikal vaksin glioblastoma ke atas manusia selepas ia menunjukkan respons positif pada tikus dan anjing dalam ujian makmal.

Vaksin dibangunkan menggunakan teknologi mRNA yang amat berkesan selepas digunakan pada vaksin Covid-19 keluaran BioNTech. Dalam ujian klinikal yang telah dijalankan pada empat orang pesakit, vaksin mRNA disuntik pada tubuh. Setiap vaksin adalah unik kepada pesakit kerana dihasilkan berdasarkan sampel tumor pada otak mereka.

Dalam masa 48 jam sahaja, tumor pada tubuh penerima vaksin mula diserang oleh sistem imun tubuh pesakit. Ini adalah petanda baik bahawa tubuh boleh diberikan arahan untuk menyerang sendiri tumor yang berada di dalam tubuh. Masih terlalu awal untuk mengatakan vaksin ini benar-benar mujarab untuk merawat dan kemudian menentang glioblastoma daripada kembali.

Selepas selesai ujian klinikal fasa pertama, fasa kedua akan dilakukan pula ke atas 24 pesakit untuk melihat tahap dos selamat dan optimal pada tubuh manusia.

Ini hanya salah satu daripada beberapa vaksin kanser yang sedang dibangunkan di seluruh dunia. Amazon, Moderna, University Oxford dan Rusia juga telah mengumumkan usaha membangunkan vaksin yang meragut 10 juta nyawa setiap tahun. Dr Ugur Sahin dan Dr Ozlem Tureci, dua saintis yang mencipta vaksin Comirnaty BioNTech percaya vaksin untuk kanser akan menjadi realiti sebelum 2030.

Komen