Malam tadi, Apple telah melancarkan iPad Air baharu dengan dua pilihan saiz iaitu 11-inci dan 13-inci mengikut penawaran yang sama dengan iPad Pro. iPad Pro pula dikemaskini dengan rekaan paling nipis dan dijana cip Apple M4 dengan Neural Engine untuk pemprosesan AI. Keempat-empat iPad baharu ini turut menyokong Apple Magic Keyboard baharu.

Magic Keyboard baharu ini direka untuk menjadi lebih nipis dan ringan. Ciri iPad terapung masih disertakan untuk memudahkan kerja-kerja produktiviti. Apple turut menambah barisan kekunci baharu yang boleh mengawal pelbagai perkara seperti kecerahan skrin, tempat letak tapak tangan diperbuat daripada aluminium dan pad sesentuh trackpad dengan kesan getaran haptik.


Sambungan Smart Connector dan USB-C turut masih diteruskan. Disebabkan iPad Air dan iPad Pro ada dua saiz, Magic Keyboard juga ada dua saiz iaitu RM1479 untuk 11-inci dan RM1699 untuk 13-inci. Jika anda ingin berjimat, Apple turut melancarkan kerangka pelindung Smart Folio baharu yang menyokong sudut pandangan berbeza pada harga RM379 untuk 11-inci dan RM479 untuk saiz 13-inci.
