Carian
Huawei Watch Fit 3 Dilancarkan Dengan Bateri 10 Hari – Kini Boleh Dipratempah Di Malaysia
May 8, 2024 Rihhadatul Aisy

Inovasi dengan beberapa elemen baru kini disuntik ke dalam jam tangan pintar Huawei Watch Fit 3 yang telah dilancarkan di Dubai hari ini. Jam tangan pintar ini bukan sahaja hadir dengan rekaan unik dan bergaya malah fungsi yang terbina padanya juga selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan pengguna kini.

Huawei Watch Fit 3 masih mengekalkan rekaan skrin petak seperti Watch Fit 2. Namun, perbezaan utama ialah tombol berputar fizikal yang terbina di bahagian sisi. Tubuh diperbuat daripada bahan aluminium yang melepasi untuk dibawa menyelam sehingga tekanan 5 atmosfera.

Jam tangan ini juga memiliki sistem operasi tersendiri menyertakan sehingga 100 mod senaman serta turut memiliki teknologi penjejakan kesihatan. Misalnya mengesan kadar denyutan jantung, pemantauan SpO2, menjejak kitaran haid, analisis waktu tidur yang komprehensif dan banyak lagi.

Selain itu ia juga menyokong panggilan telefon secara tambatan bluetooth. Walaupun dilancarkan oleh Huawei, Watch Fit 3 masih boleh digunakan oleh peranti Android dan iOS.

Untuk spesifikasi, ia dilengkapi dengan skrin AMOLED 1.82” dengan bateri 4000 mAh pula mampu bertahan sehingga 10 hari dengan sekali caj. Bateri turut menyokong pengecasan pantas menerusi sambungan magnet.

Terdapat beberapapilihan tali jam seperti fluoroelastomer, nilon dan kulit. Pelbagai pilihan warna tali jam juga tersedia, antaranya ialah hitam,putih, hijau, merah jambu dan kelabu. Kepelbagaian pilihan tali jam bersama dengan rekaan jam yang tampak anggun mampu menjadikan jam tangan ini sebagai pelengkap fesyen dan gaya.

Huawei Watch Fit 3 diumumkan akan tiba di pasaran Malaysia pada 13 Mei depan.Bagi pelanggan terawal yang mahu mendapatkan jam tangan pintar edisi terbaru ini boleh membuat pra-tempahan bermula 8 – 17 Mei 2024 di laman web rasmi HUAWEI atau di kedai rasmi HUAWEI di Shopee dan Lazada. Pembeli terawal juga berpeluang untuk mendapatkan baucar bernilai RM30 serta dapat menikmati pakej hadiah yang bernilai sehingga RM89.

Walau bagaimanapun, harga pasaran tempatan untuk Huawei Watch Fit 3 masih belum diketahui namun dijangka akan dimaklumkan dalam masa yang terdekat ini.

Komen