Carian
Lenovo ThinkStation P8 Kini Ditawarkan Di Malaysia Dengan Harga Bermula RM16 Ribu
May 9, 2024 Nazrin

Teknologi kecerdasan buatan dilihat semakin berkuasa, dan kini bukan sahaja digunakan oleh pengguna biasa untuk menjana teks, gambar ataupun video, tetapi juga dimanfaatkan oleh pelbagai jenis industri kreativiti, sains dan kejuruteraan untuk memudahkan dan mempercepatkan tugasan pereka profesional, saintis dan juga jurutera-jurutera.

Untuk memanfaatkan profesional-profesional industri ini, Lenovo Malaysia telah mengumumkan bahawa mereka akan membawa masuk komputer kelas workstation Lenovo ThinkStation P8 yang menggabungkan kuasa siri CPU AMD Threadripper Pro 7000 WX dan juga kad grafik NVIDIA RTX 6000.

Didalam rangka besi hitam bersaiz 175 x 508 x 435 mm, Lenovo ThinkStation P8 ini tampil dengan penggunaan cipset WRX90 yang baru, bersama-sama dengan penawaran CPU AMD Ryzen Threadripper PRO 7000 WX yang termasuklah CPU AMD Ryzen Threadripper PRO 7995WX dengan 96 teras fizikal Zen4 yang boleh dilewahjam sehingga 5.1GHz dan menggunakan kuasa sebanyak 350W.

Dari segi penawaran memori, komputer ThinkStation P8 ini mampu menampung sehingga 1TB memori DDR5 dalam konfigurasi okta-saluran, tujuh storan SSD PCIe 4.0 dan tiga cakera keras dengan storan besar tanpa masalah, dan sangat berguna dalam industri yang memerlukan storan komputer yang bukan sahaja besar, tetapi juga pantas.

Apa yang lebih menarik lagi ialah konfigurasi kad grafik yang boleh didapati pada komputer ini. Lenovo mengatakan bahawa bergantung kepada kad grafik, anda boleh memuatkan tiga buah kad grafik NVIDIA RTX 6000 dengan 96 unit CU dan 48GB memori GDDR6. Komputer workstation ini juga tampil dengan pilihan bekalan kuasa sebesar 1400W untuk menampung keperluan kuasa tinggi kesemua komponen-komponen ini.

Rekaan rangka PC ThinkStation P8 ini juga diilhamkan daripada rekaan Aston Martin DBS Grand yang memperlihatkan jeriji hadapan yang menyerupai kereta tersebut. Terdapat satu sebab praktikal mengapa rekaan ini digunakan untuk komputer ini.

Menyejukkan komputer gergasi ini ialah sistem penyejukan Lenovo Tri-Channel yang menggunakan enam buah kipas penyejukan besar yang memaksimakan kemasukan udara sejuk dan pengeluaran udara panas dari rangka komputer ini. Dengan konfigurasi maksima, ia dianggarkan bahawa sebuah komputer Lenovo ThinkStation P8 ini akan hadir dengan berat sekitar 25.9KG.

Lenovo Malaysia telah mengesahkan bahawa Lenovo ThinkStation P8 ini sudah mula ditawarkan di pasaran Malaysia pada harga permulaan RM16,429.10.

Komen