Carian
Matter 1.3 Kini Menyokong Laporan Tenaga, Pengecasan EV, Urus Air Dan Banyak Lagi
May 9, 2024 Fahim Zahar

Matter adalah protokol bersifat universal untuk sambungan peranti Internet benda (IoT) yang digunakan oleh Amazon, Apple, Google, Huawei, IKEA, Oppo, Signify, SmartThings dan ramai lagi. Terbaru, Matter 1.3 telah diumumkan dengan sokongan lebih banyak peranti termasuk kenderaan elektrik.

Piawaian Matter 1.3 mula menyokong laporan penggunaan tenaga dan turut boleh memberi pengguna anggaran penjanaan tenaga secara masa nyata. Bukan itu sahaja, untuk kenderaan elektrik ia membenarkan pengguna mengawal pengecasan seperti manual atau automatik dengan kadar penggunaan kuasa yang dikehendaki. Untuk pengurusan air pula, jika pengguna memiliki sensor atau peranti Internet benda yang boleh mengawal air – Matter 1.3 boleh mengawal injap paip, mengesan kebocoran atau mengawal sensor pengesanan hujan.

Piawaian baharu ini turut menyokong peranti seperti ketuhar gelombang mikro untuk kawalan dari jarak jauh, kawalan ketuhar untuk pelbagai mod operasi berbeza, kawalan dapur masak elektrik seperti suhu dan banyak lagi. Penyedut asap di dapur yang terpilih turut ada yang menyokong Matter 1.3 agar pengguna boleh kawal lampu dan kuasa kipas. Sementara sokongan untuk pengering pakaian memberi pengguna pelbagai kawalan seperti barangan elektronik pintar yang lain.

Matter Casting yang baru diumumkan Januari lepas turut dikemaskini agar ia lebih prestasi lebih baik dan sistem notifikasi yang memudahkan pengguna. Matter turut memberi banyak perubahan untuk memastikan pengalaman penggunaan peranti Internet benda di rumah atau pejabat lebih lancar. Matter turut disokong pada Google Home untuk kawalan dengan Google Assistant atau Apple Home untuk kawalan dengan Siri.

Komen