Carian
SKMM dan Meta Bangunkan Chatbot Untuk Perangi Berita Palsu Di WhatsApp
May 10, 2024 Amy Maizuraa

Memang tidak dapat dinafikan bahawa peratusan berlakunya penyebaran berita palsu semakin meningkat. Ditambah pula dengan kewujudan pelbagai platform khususnya aplikasi WhatsApp yang dijadikan medium utama penyebarannya. Sekaligus mampu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna sendiri kerana ia menyentuh isu-isu sensitif 3R.

Bagi menanganinya, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi sedang melaksanakan langkah drastik dengan membangunkan chabtbot di WhatsApp yang melakukan semakan kesahihan maklumat yang disebarkan melalui aplikasi berkenaan.

Ia dibangunkan dengan kerjasama Meta sementara sumber jawapan kesahihan pula diperoleh daripada laporan kumpulan JomCheck serta MyCheck yang bernaung di bawah Bernama. Bahasa Malaysia, Cina, India dan Inggeris akan disokong oleh chatbot.

Pengguna hanya perlu memulakan perbualan dengan chatbot untuk memeriksa kesahihan mesej dan jawapan akan diberikan dalam masa 1-2 minit. Ia masih di peringkat pengujian dengan beberapa aspek teknikal yang perlu diselesaikan setakat ini sebelum dilancarkan bagi versi penuh pada hujung bulan ini. Hanya mesej dalam bentuk teks sahaja boleh diperiksa membuatkan penyebaran maklumat dalam bentuk gambar dan video masih boleh berlaku.

Tahun ini WhatsApp telah mengumumkan chabtbot memeriksa fakta di India bagi memerangi sebarang berita palsu sebelum pilihanraya umum diadakan. Pengumuman hari ini menjadikan Malaysia antara negara terawal yang mempunyai ciri pemeriksaan fakta terbina di WhatsApp.

Komen