Sejak CelcomDigi bergabung pada penghujung tahun 2022, syarikat tersebut telah mula mengorak langkah dalam memodernisasikan rangkaian pencawang telekomunikasi mereka dan mengintegrasikan dua rangkaian ini menjadi satu.
CelcomDigi baru sahaja mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa sejak penghujung bulan April 2024, mereka telah menaiktarafkan dan mengintegrasi (Network Integration and Modernization) sebanyak 7200 lokasi pencawang di seluruh negara, ataupun sekitar 44 peratus daripada jumlah rangkaian pencawang mereka.
Mereka mengatakan lagi bahawa menjelang penghujung bulan Jun 2024, angka peratusan tersebut akan melangkaui 50 peratus di empat buah negeri dan 60 peratus di enam buah negeri, dimana Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama proses NIM ini akan dilengkapkan.

Menurut CelcomDigi lagi, untuk kawasan-kawasan dimana pencawang-pencawang mereka sudahpun dinaiktarafkan, para pelanggan CelcomDigi dapat menikmati penambahbaikan kualiti isyarat dan juga kelajuan muat-turun menggunakan data mudah-alih setinggi 20-26 peratus.
Proses memodernisasikan pencawang-pencawang mereka ini adalah untuk memastikan bahawa semua pencawang mereka boleh dimuatkan dengan radio 5G, tetapi juga untuk memastikan bahawa rangkaian 4G LTE dan 4G LTE-A mereka beroperasi pada kadar optimum. CelcomDigi mengumumkan juga bahawa kadar liputan kedua-dua rangkaian ini adalah pada tahap 96.8 peratus (4G LTE) dan 92.1 peratus (4G LTE-A).
CelcomDigi telah memulakan proses NIM ini sejak bulan Jun 2023, dan akan membelanjakan sebanyak RM4 bilion dalam proses bukan sahaja untuk menaiktarafkan rangkaian pencawang 4G sedia ada, tetapi untuk menyiapsediakan sebanyak 18 ribu pencawang 5G sedia ada, termasuklah kedua-dua pencawang Stand Alone (SA) ataupun Non Stand Alone (NSA).