Cari @ Amanz

Ulasan Huawei Watch Fit 3 – Peranti Serasi Untuk Kesihatan Diri

Link Copied!

Sehingga kini pelbagai pilihan peranti boleh pakai asas yang boleh didapati di pasaran. Masing-masing juga mempunyai kelebihan tersendiri dalam menyediakan pengalaman memadai buat pengguna. Huawei merupakan salah satu jenama yang turut serta dalam segmen berkenaan.

Kini peranti di bawah siri Watch Fit mereka telah memasuki generasi ketiga. Boleh dikatakan pilihan yang premium dengan paparan lebih besar dan terang. Selain memuatkan pelbagai ciri kesihatan dan kecergasan lebih dari memadai. Jadi apa yang menjadikan Huawei Watch Fit 3 menarik? Ketahui dalam artikel ulasan di bawah.


Spesifikasi

Huawei Watch Fit 3
JenisJam Tangan Pintar Asas
Paparan1.82″ AMOLED (480 × 408 piksel)
Kecerahan 1500 nits, 60Hz
Pemproses
RAM
Muatan Dalaman
Bateri400mAh
SIM / TelefoniPanggilan menerusi tambatan bluetooth
SensorSensor kadar jantung, oksigen darah, pecutan, giroskop,
geomagnetik, atmosfera, cahaya ambien
NFCYa (terhad versi kulit sahaja)
Infra MerahTiada
Tahap Ketahanan5ATM
Diameter46.2 x 45 x 11.1 mm
WarnaGrey, White, Black, Green, Pink
Harga JualanRM599 (Fluoroelastomer)
RM699 (Nylon & Leather)

Rekabentuk

Pada tahun ini Huawei mengetengahkan reka bentuk lebih moden untuk peranti boleh pakai baharu Watch Fit 3. Memperincikan perbezaan model sebelum dengan kini, bahagian hadapan Watch Fit 3 telah dikemaskini dengan kerangka segi empat sama dengan sisi yang melengkung. Ia dilihat berbeza sama sekali dengan generasi sebelum yang menggunakan kerangka segi empat tepat yang memanjang.

Binaan tubuh Watch Fit 3 terdiri dengan bahan berbeza yang merangkumi kaca lengkung 2.5D di bahagian muka dan dikelilingi oleh kerangka aloi aluminium pada ketebalan 9.9mm. Ikhlas kami katakan ia juga terasa ringan di pergelangan tangan dengan berat cuma 26-gram sekaligus selesa dipakai sepanjang masa.

Hanya satu saiz ditawarkan iaitu 43mm namun dirasakan baik sahaja untuk dipakai pada kebanyakan pergelangan tangan. Kemudian tali sejenis fluoroelastomer, nylon dan kulit yang diberikan pula boleh didapati dalam enam pilihan warna seperti Grey, White (Leather), White, Pink, Green serta Black. Proses menukar dan membuka tali juga mudah dengan hanya menekan butang khusus kecil yang disertakan di bahagian belakang seperti sebelum ini.

Tidak dinafikan konsep ini adalah mirip seperti seutas jam tangan yang dihasilkan Apple sekaligus mengehadkan pengguna untuk bergantung pada pilihan tali disediakan oleh pengeluar sahaja. Namun usah risau kerana Huawei berpotensi menyediakan pelbagai pilihan tali yang boleh dibeli secara berasingan.

Bercakap mengenai kesesuaian jenis tali, ianya bergantung pada keperluan masing-masing. Dalam ulasan ini kami menggunakan tali sejenis fluoroelastomer berwarna hitam dan merah jambu. Ia didatangkan dengan tekstur yang lembut dan selesa pada kulit meskipun dipakai untuk jangka masa yang lama. Tali jam ini juga dilengkapi lubang yang banyak membolehkan kami melaraskan tali mengikut saiz pergelangan tangan dengan mudah. Dalam masa sama sesuai dijadikan pilihan ideal untuk mereka yang mementingkan rekaan kasual dan ringkas.

Seterusnya paling mencuri perhatian ialah tombol berputar di bahagian sisi kanan yang pertama kalinya digunakan dalam siri Watch Fit. Berkongsi lebih lanjut, tombol berputar tersebut didatangkan dalam warna merah terang untuk model berwarna Grey (Nylon) dan White (fluoroelastomer). Kemudian selebihnya pula menggunakan warna yang sepadan dengan keseluruhan kerangka.

Satu lagi butang fizikal berbentuk kotak dengan tekstur yang licin juga disediakan di bawahnya yang boleh mengaktifkan penjejakan kesihatan dengan cepat. Sekali lagi konsep yang mirip seperti Apple Watch digunakan di sini terutamanya untuk model yang mempunyai tombol berwarna merah.

Bahagian yang sama turut terdapatnya satu lubang mikrofon yang kemudiannya pembesar suara pula ditempatkan pada sisi sebelah kiri. Melengkapkannya lagi ialah bahagian belakang berasaskan plastik yang memuatkan sensor untuk mengukur kadar denyutan jantung, oksigen darah, suhu kulit dan sebagainya. Diikuti juga port pengecasan magnetik dengan dari jenis tersendiri secara berwayar.

Tidak ketinggalan sokongan piawaian kalis air 5ATM juga disokong oleh Watch Fit 3 yang bermakna boleh dibawa berenang pada kedalaman tidak melebihi daripada 50 meter. Bagaimanapun kami tidak pula merendam ke dalam air secara langsung, apatah lagi cuba dibawa berenang memandangkan editor yang menguji tidak tahu berenang. Tetapi terkena rintik-rintik hujan secara berkala menunjukkan tiada kerosakan yang berlaku sehingga ke hari ini.


Skrin Hadapan

Paparan yang besar, terang dan berwarna-warni juga menjadi ciri menonjol pada Watch Fit 3. Ia menawarkan skrin sesentuh 1.82-inci lebih besar bersama nisbah skrin-ke-badan 77.4% lebih tinggi berbanding generasi sebelumnya. Panel AMOLED juga menawarkan tahap kecerahan maksimum 1,500 nits dan resolusi 480 × 408 piksel untuk menjadikan skrin lebih terang. Dalam ujian kami mendapati kualiti paparan itu sememangnya baik dari segi kecerahan walaupun digunakan di bawah cahaya matahari secara langsung. Warnanya juga bermaya dengan teks yang boleh dibaca dengan jelas.

Tatalan adalah lancar cuma kadang kala kami menyedari wujud sela masa apabila ingin kembali ke skrin utama. Ciri Always-On-Display turut boleh diaktifkan sekiranya anda tidak kisah menggunakan lebih banyak bateri. Diikuti dengan fungsi Wake-up Screen yang berfungsi cukup responsif setiap kali tangan diangkat.

Bezel pada skrin mungkin boleh dikatakan agak tebal tetapi boleh disorok dengan mudah menggunakan pilihan muka jam yang berwarna gelap. Secara lalai sebanyak 11 pilihan muka disediakan pada peranti dan selebihnya pula boleh diakses melalui aplikasi khusus Huawei Health.


Antaramuka Dan Aplikasi

Huawei Watch Fit 3 menggunakan sistem operasi tersendiri HarmonyOS 4.2 tanpa kebolehan memuat-turun aplikasi pihak ketiga. Tiada perubahan drastik antaramuka yang dilakukan cuma pengalaman penggunaan itu menjadi lebih baik. Paling penting ke semua elemen mudah difahami, dipelajari dan dibaca.

Tombol berputar terbina apabila ditekan akan melancarkan roda aplikasi. Pilihan aplikasi masih lagi seperti dahulu cuma proses navigasi menjadi lebih mudah menggunakan layout berasaskan grid dengan susunan lebih kemas. Pengguna turut boleh melakukan zum saiz aplikasi tersebut menggunakan tombol berputar.

Sebuah lagi butang pula digunakan untuk mengaktifkan penjejakan kesihatan dan kecergasan terbina dengan cepat. Cumanya anda perlu menekan tombol berputar untuk memulakan/menjeda/menghentikan aktiviti. Anda juga boleh menetapkan butang fizikal kedua itu untuk sejumlah ciri lain bergantung pada keperluan masing-masing.

Dari muka utama, notifikasi boleh dibaca dengan membuat tatalan ke atas. Tatalan ke bawah pula akan memberi akses kepada akses pintar seperti mod penjimatan bateri, mengubah keterangan skrin, status tambatan bluetooth dan banyak lagi. Kembali ke muka utama jika tatalan ke kanan dilakukan akan memberikan akses kepada beberapa widget seperti penjejak kesihatan, kalendar, fasa bulan dan banyak lagi.

Maksimum hanya enam widget yang disokong dalam satu masa namun pengguna bebas untuk memilih jenis widget mengikut keperluan peribadi. Akhir sekali, tatalan secara bertentangan pula akan memaparkan kemas kini cuaca dalam masa nyata beserta kawalan pemain muzik.

Sokongan fungsi dan perisian yang lancar memerlukan aplikasi Huawei Health digunakan bersama. Ia terbina terus pada sesebuah peranti Huawei. Kemudiannya boleh didapati secara percuma melalui Google Play Store untuk peranti Android dan AppStore pada peranti iOS. Kami mendapati tiada masalah ditemui sewaktu menyambungkan dengan iPhone 14. Cuma tidak konsisten yang memerlukan kami membuat sambungan semula setiap kali membuka aplikasi. Antaramuka aplikasi juga direka semula sepenuhnya dengan gaya dan skema warna lebih baik.


Pengalaman Penggunaan

Kalau mengikut pada perkiraan sudah masuk kira-kira lima hari kami memakai jam tangan ini yang dipasangkan pada iPhone 14. Watch Fit 3 menawarkan ciri kesihatan dan kecergasan yang lebih daripada memadai. Kebanyakan aktiviti juga boleh dikesan secara automatik seperti berlari, berjalan dan lain-lain. Pelbagai rangkaian alatan kecergasan juga disediakan termasuk AI Running Plan yang menyediakan jadual latihan untuk tempoh lima minggu. Diikuti dengan pratonton tutorial tentang jenis latihan, meditasi atau rutin yang sesuai untuk anda.

Sensor juga dipertingkatkan dengan teknologi terkini TrueSeen 5.5 dan TruSleep 4.0 untuk pemantauan lebih baik. Tidak ketinggalan Huawei juga memperkenalkan ciri menghitung kalori dalam makanan. Ia berfungsi seakan kalkulator untuk mengira berapa banyak kalori yang anda perlukan setiap hari. Penggunaannya amatlah sesuai bagi mereka yang mahu menurunkan berat badan sambil mengamalkan corak pemakanan yang berkhasiat.

Kami tidak menggunakan Watch Fit 3 untuk aktiviti mencabar seperti larian, berbasikal, berenang dan lain-lain. Sebaliknya digunakan sepenuhnya untuk memantau sebahagian besar aktiviti harian biasa seperti kiraan langkah berjalan, degupan jantung dan pola waktu tidur. Hasilnya sensor yang disertakan berfungsi dengan baik tanpa masalah untuk menjejak data. Malahan sering menghantar peringatan kepada kami untuk kekal aktif.

Cuma tetapan untuk GPS mengambil masa agak lama untuk mengunci sebuah lokasi. Kemudian bacaan data terkumpul untuk langkah pula kurang tepat dengan perbezaan agak jauh mengikut kiraan manual. Berbeza pula ceritanya dengan pemantauan waktu tidur yang kelihatan tepat yang juga menyediakan pecahan data terperinci untuk dijadikan rujukan. Selain itu, Watch Fit 3 juga boleh mengesan dengkuran serta gangguan nafas sewaktu tidur tetapi kami tidak pula mencubanya.

Ia juga menyokong ciri pemberitahuan pintar untuk sejumlah aplikasi seperti WhatsApp, imessage, Netflix, Youtube dan lain-lain. Notifikasi hanya boleh dibaca tanpa kebolehan membalas. Kemudian anda juga bebas untuk mematikan mana-mana pemberitahuan daripada aplikasi yang tidak diinginkan melalui ruang tetapan. Panggilan suara bluetooth juga disokong dengan kebolehan mendail dan menjawab panggilan masuk terus daripada jam tangan.

Ujian kami mendapati prestasinya cukup baik dengan kelantangan audio yang jelas sama ada dari pihak yang mendail mahupun penerima panggilan. Tombol berputar turut boleh digunakan untuk melaras audio dan secara peribadi kami hanya menggunakan ciri ini sewaktu memandu. Sebelum terlupa pin kod khusus boleh ditetapkan pada jam tangan bagi tujuan privasi. Selain disertakan ciri penjejakan kesihatan wanita yang boleh memantau tempoh haid dan tahap kesuburan. Akhir sekali sokongan NFC diberikan untuk tujuan pembayaran nirtunai (namun terhad pada versi kulit sahaja).


Ketahanan Bateri

Huawei memuatkan bateri sebesar 400mAh yang dikatakan boleh berfungsi sehingga 10 hari maksimum. Kemudiannya berkurang menjadi 7 hari apabila digunakan dalam mod jam tangan biasa. Sudah pasti ianya berasas memandangkan kami mampu mendapatkan bacaan ketahanan sehingga lima hari dengan penggunaan harian biasa. Ia melibatkan penggunaan bateri di tahap 61% pada mulanya sehingga baki 5% pada hari kelima.

Penggunaannya juga melibatkan sambungan pada telefon pintar secara berterusan bersama beberapa ciri kecergasan yang diaktifkan secara berkala.  Proses pengecasan semula boleh dibuat secara berwayar menggunakan port pengecasan yang dari jenis tersendiri. Masa yang diambil pula sekitar satu jam untuk pengecasan penuh. Tiada pengecasan nirwayar diberikan.


Kesimpulan

Watch Fit 3 menawarkan reka bentuk cukup bagus yang kelihatan seperti seutas jam tangan Apple. Binaan juga kukuh bersama skrin AMOLED yang berkualiti tinggi. Sensor disertakan boleh berfungsi dengan baik malahan lebih daripada memadai untuk seutas jam tangan pintar asas. Jangka hayat bateri yang panjang turut menjadi salah satu ciri menarik pada Watch Fit 3.

Namun masih terdapat faktor lain yang perlu dipertimbangkan seperti kekurangan sambungan WiFi terbina, isyarat GPS lemah, kurangnya aplikasi pihak ketiga dan tiada pengecasan nirwayar. Bagaimanapun Watch Fit 3 mempunyai ciri asas yang lebih daripada memadai dan sesuai sahaja digunakan untuk pemantauan aktiviti harian.


Pros

  • Skrin lebih besar dan terang.
  • Rekabentuk moden.
  • Pelbagai fungsi kesihatan dan kecergasan terbina.
  • Jangka hayat bateri panjang.
  • Kunci sekuriti untuk lebih privasi.
  • Kalis air 5ATM.

Kontra

  • Tidak menyokong aplikasi pihak ketiga.
  • Tali jam agak terhad.
  • Tiada Wi-Fi terbina.
  • Tiada pengecasan nirwayar.

Komen ()