Carian
Butiran Dan Rekaan Dell Inspiron 14 Dan XPS 13 Baru Tertiris Ke Arena Web
May 13, 2024 Nazrin

Dell dijangka akan memperkenalkan sejumlah komputer riba baru yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan tidak lama lagi, dan terkini nampaknya dua daripada komputer riba tersebut sudahpun tertiris rekaannya di arena web.

Ia termasuklah komputer riba Dell XPS 13 dan juga Dell Inspiron 14 yang akan dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel generasi ke-14 Meteor Lake. sama seperti kebanyakan komputer riba yang akan tampil dengan fokus terhadap kecerdasan buatan ini, ia akan tampil dengan kehadiran kekunci Copilot khusus untuk mengakses fungsi AI Microsoft Copilot dengan mudah.

Dari segi rekaan, komputer riba Dell XPS 13 9345 memperlihatkan rekaan yang sama seperti model sebelum ini, iaitu Dell XPS 13 9340 dan dijangka akan menggunakan cip pemprosesan Intel Core Ultra Meteor Lake dan juga siri Qualcomm Snapdragon X untuk model ARM. Buat masa ini tidak banyak yang diketahui mengenai spesifikasinya, cuma ia akan hadir dengan panel OLED dengan resolusi 2.8K dan akan menyokong teknologi rangkaian WiFi 7.

Dell Inspiron 14 7441 Plus pula berkemungkinan besar akan dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X Elite yang akan tampil dengan model 16 teras fizikal terbina. Dari segi rekaan, Dell Inspiron 14 terbaru ini dilihat lebih nipis berbanding dengan rekaan Inspiron sebelum ini, menjadikannya sebuah lagi komputer riba produktiviti nipis dan ringan.

Dell dijangka akan membuat pengumuman rasmi mengenai komputer-komputer riba ini tidak lama lagi.

Komen