Carian
Huawei MateBook X Pro (2024) Rasmi Di Malaysia Pada Harga Bermula RM8,999
May 13, 2024 Amy Maizuraa

Huawei telah melancarkan komputer riba baharu berprestasi tinggi MateBook X Pro (2024) untuk pasaran Malaysia. Ia direka khusus untuk kegunaan produktiviti serta mudah dibawa ke mana sahaja. Selain turut dilengkapi kombinasi pemprosesan dan perisian terkini yang mesra pengguna.

Menyentuh aspek spesifikasi Matebook X Pro (2024) menggunakan skrin sesentuh bersaiz 14.2-inci dengan paparan Flexible OLED (3120 × 2080 piksel) 120Hz yang mampu menghasilkan tona warna lebih tepat. Dengan berat hanya 980-gram dan ketebalan pada 13.5mm menjadikannya mudah dipegang serta disimpan dalam beg tanpa membebankan diri.

Peranti didatangkan dalam dua konfigurasi iaitu Intel-Core Ultra 7 155H serta Intel-Core Ultra 9 185H bersama GPU Intel Arc Graphics. Ini digabungkan pilihan memori sehingga 32GB RAM dan storan 1TB/2TB TB NVMe PCIe SSD. Ia juga menggunakan Metaline Antenna 3D untuk kelajuan rangkaian lebih stabil. Diikuti kemampuan pengurangan hingar yang mampu menawarkan bunyi lebih jelas melalui enam pembesar suara terbina.

Kepelbagaian tugas juga menjadi mudah menerusi beberapa fungsi AI terbina. Misalnya seperti Copilot AI yang memudahkan carian sesebuah topik, AI Writer untuk menulis ucapan ringkas, AI PDF Reader yang boleh meringkaskan teks panjang, AI Camera untuk pengalaman mesyuarat lebih nyaman dan lain-lain.

Ketahanan bateri pula boleh menjangkau 7 jam penggunaan melalui kapasiti 70Wh. Pengecasan pantas 90W juga disokong oleh peranti dengan blok pengecas bersaiz kompak diberikan dalam kotak pembelian. Pilihan I/O disediakan terdiri dengan tiga port USB-C yang dua daripadanya menyokong Thunderbolt 4.

Huawei MateBook X Pro (2024) dijual di Malaysia dengan harga permulaan RM8,999 (Ultra 7) dan RM10,999 (Ultra 9). Pratempahan telah dibuka dengan deposit RM70 berserta peluang menerima hadiah menarik bernilai hingga RM4,582. Ketersediaan melalui pengedar sah Huawei di seluruh Malaysia.

Komen