Selain Kuching, Johor Bahru juga kelak akan menggunakan sistem pengangkutan Autonomous Rail Rapid Transit (ART) bagi menggantikan pelan asal membina sistem Transit Aliran Ringan (LRT). Keputusan diambil selepas mengambil kira kos pembinaan LRT yang akan menelan belanja RM16.7 bilion. Ini adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding kos membina sistem LRT di Johor Bahru.

Sistem ART di JB adalah dari jenis hibrid bertingkat. Di sesetengah kawasan ART yang menggunakan roda getah biasa akan menggunakan jalan raya sedia ada dan akan menggunakan laluan bertingkat tersendiri di kawasan yang sering mengalami kesesakan jalan raya.
Ia perlu disiapkan menjelang Disember 2026 serentak dengan siapnya sistem Rapid Transit System (RTS) yang menghubungkan Bukit Chagar ke Woodlands, Singapura. Kesesakan lalu lintas di Stesen RTS Bukit Chagar akan dapat dielakkan menggunakan ART apabila ia beroperasi kelak.
Pada waktu ini masih tidak diketahui sama ada ART di JB akan menggunakan sistem elektrik ataupun sumber kuasa hidrogen seperti projek rintis yang telah dimulakan di Sarawak. ART dibangunkan oleh CRRC dari China pada tahun 2017 dengan kemampuan beroperasi secara swapandu. Setiap ART mempunyai kapasiti sehingga 309 penumpang dan bergerak pada kelajuan 70 kilometer sejam.