Carian
OpenAI Memperkenalkan GPT-4o – “Omni”, Lebih Cerdas, Multi-Mod, Dan Akan Ditawarkan Kepada Pengguna Percuma
May 14, 2024 Aman

OpenAI hari ini telah mengadakan sebuah acara pengumuman khas, sekaligus memperkenalkan beberapa perkara baharu melibatkan penawaran berasaskan kecerdasan buatan mereka. Menjadi fokus utama adalah pengenalan model baharu dibawah mereka, dinamakan GPT-4o.

GPT-4o menggunakan “o’ untuk singkatan “Omni”. Model baharu ini bukan sahaja berfungsi lebih pantas dengan kadar interaksi lebih baik, tetapi juga menambah-baik keupayaan model berkenaan melalui teks, audio dan juga video serta gambar.

Dengan langkah ini, pengguna boleh bertanyakan secara teks, termasuk juga melalui audio atau video – dan model berkenaan akan berinteraksi dengan lebih baik. Pengguna turut boleh menganggu ia ditengah perbualan, dan ia akan mengambil kira pelbagai perkara, termasuk emosi atau mimik muka sekiranya bertanyakan dalam bentuk video. Pengguna juga boleh memuat-naik sebarang gambar, dan bertanyakan pelbagai perkara melibatkan gambar berkenaan – dan menerima respon berkali ganda lebih baik berbanding sebelum ini.

Model baharu ini akan mengambil pelbagai konteks dalam memberikan interaksi atau balasan, dan mengambil kira pelbagai perkara dalam memberikan sesuatu input – berbeza dengan sebelum ini yang hanya berasaskan sesuatu prom sahaja.

Melalui penawaran ini, bukan sahaja ia boleh digunakan sebagai pembantu maya berasaskan audio atau video yang lebih baik berbanding pesaing lain, tetapi ia turut digunakan sebagai penterjemah, serta pelbagai penggunaan kaedah lain. OpenAI sendiri menyatakan model GPT-4o berfungsi 2 kali ganda lebih pantas berbanding GPT-4Turbo sebelum ini.

OpenAI akan memperkenalkan GPT-4o kepada semua pengguna ChatGPT Plus terlebih dahulu, dan turut akan menawarkan akses terhad kepada pengguna ChatGPT versi percuma kelak.

Komen