Carian
Google Menguji Kebolehan Menjalankan Chrome OS Pada Peranti Android
May 14, 2024 Fahim Zahar

Sistem operasi Android dibangunkan untuk telefon pintar. Sekarang Android digunakan pada banyak kategori peranti, sementara Chrome OS adalah untuk kategori komputer. Terbaru, Google dilaporkan sedang menguji kebolehan Chrome OS dijalankan pada peranti Android. Sumber menyatakan Google melakukan demonstrasi dengan rakan kerjasama tetapi tidak mendedahkan bila ia akan diedarkan kepada umum.

Google Chrome pada desktop dan telefon.

Jika anda ingat, Google pernah membangunkan projek Andromeda iaitu menggabungkan Android dan Chrome OS sebagai satu sistem operasi. Projek ini dihentikan selepas Android dan Chrome OS masing-masing telah berjaya. Untuk ujian baharu ini, ia adalah ferrochrome dan Chrome OS dilihat dijalankan pada sebuah Google Pixel 8. Menariknya pada peranti ia masih lagi Android tetapi selepas peranti disambungkan ke skrin luaran, skrin tersebut memaparkan Chrome OS dan bukannya Android. Ini mungkin iterasi Samung DeX awal oleh Google.

Menurut sumber, Google menggunakan teknologi pelagak pada peranti Android bagi menjalankan Chrome OS. Peranti Android sudah mempunyai spesifikasi yang berkuasa dan perkara ini tiada masalah untuk menjadikan projek ferrochrome berjaya. Buat masa ini masih tidak pasti apakah perancangan Google dengan konsep ini, sama-sama kita nantikan.

Komen