Antara keunikan pada peranti Pixel ketika mula diperkenalkan adalah penggunaan nama warna seperti Really Blue atau XL untuk model bersaiz besar seakan saiz pakaian dan juga sistem operasi Android stok yang menarik. Google kemudian mengikut strategi pesaing menggunakan nama “Pro” dari Pixel 6 sehinggalah Pixel 8. Terbaru, siri Google Pixel 9 telah tertiris dan model XL dilihat bakal kembali.

Terdapat tiga peranti iaitu Pixel 9, Pixel 9 Pro dan Pixel 9 Pro XL. Rekaan ketiga-tiga peranti mengikut formula rekaan Pixel 8a yang baru dilancarkan. Untuk bar kamera, ia dilihat telah berubah menjadi bonggol yang memanjang. Pixel 9 dilihat hadir dengan dwi-kamera sudut lebar + sudut ultra lebar, Pixel 9 Pro dengan sudut lebar + sudut ultra lebar + telefoto, sementara Pixel 9 Pro XL sama dengan Pixel 9 Pro yang turut mempunyai sensor suhu.

Siri Pixel 9 dijangka akan dijana cip Tensor G4, menjalankan sistem operasi Android 15 dengan ciri AI baharu yang akan diperkenalkan pada minggu ini di Google I/O 2024 serta menyokong sistem kamera yang lebih baik. Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut mengenai Pixel 9, mana tahu Google akan lakukan kejutan seperti Pixel 4 dahulu – mereka sendiri meniriskan dan mendedahkan rekaan Pixel baharu di acara Google I/O.