Teknik suntingan gen CRISPR telah berjaya digunakan untuk merawat penglihatan insan yang hampir buta disebabkan oleh penyakit Leber Congenital Amaurosis (LCA). LCA menyebabkan penglihatan pesakit semakin terjejas sehingga 1/3 akan menjadi buta sepenuhnya selepas beberapa tahun.

Saintis dari Oregon Health & Science University(OHSU) melakukan kajian klinikal ke atas 14 pesakit LCA antara 2020 hingga 2023. Teknik CRISPR digunakan untuk menyunting gen CEP290 yang merupakan salah satu penyebab LCA berlaku terus pada retina pesakit.
Kemudian kesemua pesakit diberikan ujian mengenal pasti objek dan abjad, melihat sumber cahaya, mencari jalan keluar dalam lorong keliru (maze) dan berkongsi perubahan kualiti hidup selepas menjalani rawatan. Walaupun LCA tidak mampu dirawat sepenuhnya bagi mengembalikan penglihatan sempurna, peningkatan tahap kualiti hidup yang dinikmati memberikan harapan kepada pesakit yang tidak lagi perlu risau atau buta sepenuhnya.
Rawatan suntingan gen CRISPR telahpun diluluskan untuk merawat penyakit anemia sel sabit tahun lalu. Walaupun mujarab, kos untuk menjalani rawatan mencecah $2.2 juta seorang.