Bersama-sama dengan pelancaran siri televisyen pintar Samsung Neo QLED 8K 2024 hari ini, Samsung Malaysia turut memperlihatkan siri televisyen pintar Samsung Glare-Free OLED untuk pasaran tempatan.

Hampir sama seperti paparan skrin Samsung Neo QLED 8K yang diperkenalkan, siri televisyen Samsung Glare-Free OLED ini turut hadir dengan cip pemproses AI, iaitu cip Samsung NQ4 Gen 2 yang turut memperkenalkan ciri Real Depth Enhancer dan OLED HDR Pro yang menawarkan olahan warna yang terang dan jitu.
Dengan teknologi Motion Xcelerator 144Hz pula, paparan skrin ini memperlihatkan kadar segar semula pantas untuk video dengan adegan aksi yang pantas ataupun untuk tujuan gaming pada konsol dan juga PC.
Tetapi apa yang mungkin paling menarik sekali ialah penggunaan panel Glare-Free OLED yang menghindari isu pantulan cahaya pada permukaan panel dan membolehkan paparannya memperlihatkan warna hitam yang benar-benar gelap.

Siri televisyen Samsung Glare-Free OLED ini juga tampil dengan beberapa pilihan saiz, termasuklah 65 inci dan juga 77 inci yang sesuai untuk pelbagai jenis ruang tamu. Bermula dari harga RM15,999 untuk model 65 inci sehingga RM32,999 untuk model 77 inci, pembelian awal televisyen ini sehingga 30 Jun 2024 akan mendapat rebat kredit Touch’n’Go eWallet sehingga RM1600.